Terserah Kepada Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong – Azmin

Sungai Buloh – “Terserah kepada kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong,” kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Mohamed Azmin Ali apabila ditanya jika parti itu yakin Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendapat pengampunan Diraja.

 

Azmin menambah, tanggungjawab keluarga Ketua Pembangkang itu dan parti adalah untuk mengemukakan petisyen.

 

“Jawatankuasa Pengampunan perlu menyiapkan kertas maklum balas yang adil dan professional dalam melihat kes ini agar keadilan dapat diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Kampung Sri Indah A dan Penyampaian Notis 5A Kampung Sri Indah B.

 

Ketika ditanya jika petisyen yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong itu membuktikan Anwar bersalah, Azmin berkata perkara seperti itu dibolehkan dalam perlembagaan Malaysia.

 

Tambah beliau, keluarga Anwar dan parti itu mempunyai hak kerana petisyen yang dikemukakan itu adalah menerusi proses perlembagaan.

 

Keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari lalu mengemukakan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar dalam kes liwat II.

 

Anak kedua Anwar, Nurul Nuha, 31, berkata petisyen itu dibuat “bersandarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.”

 

“Kami meletakkan keyakinan kepada proses perlembagaan ini serta percaya prinsip keadilan akan ditegakkan apabila kesemua fakta-fakta diteliti secara menyeluruh tanpa campur tangan politik maupun mana-mana cabang kerajaan bersesuaian dengan prinsip pemisahan kuasa melalui institusi Raja Berperlembagaan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.