Sime Darby Ketuai Kemaraan Ke Pusingan Ketiga Piala FA

Kuala Lumpur – Sime Darby FC mengetuai kemaraan tujuh pasukan ke pusingan ketiga Piala FA selepas menang bergaya 5-1 ke atas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang FC (PBAPP FC) pada perlawanan pusingan kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, dekat sini, semalam.

 

Sime Darby FC, Naib Juara Piala FA 2012 yang kini dikendalikan Ismail Zakaria itu bakal membuat perhitungan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada pusingan ketiga dijadual pada pertengahan Mac ini.

 

Pemain import dari Serbia, Nemanja Vidakovic meledak jaringan hatrik untuk Sime Darby FC pada minit ke-11, 23′ dan 56′, selain gol daripada Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-41 dan Marko Perovic (54′).

 

Gol tunggal pasukan pelawat disumbang oleh Khairzul Azri Jamal Abd Haziq pada minit ke-30.

 

PDRM pula mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Sabah di Stadium Shah Alam hasil sentuhan penyudah Ali Ashfaq pada minit ke-28 dan Dramanae Traore pada minit ke-40 dan ke-45.

 

Juara dua kali, Kelantan turut mara ke pusingan seterusnya berdepan Kuala Lumpur selepas menang tipis 2-1 ke atas Sarawak di Stadium Negeri, Kuching.

 

Dua gol Kelantan disumbang oleh Erwin Carillo pada minit kedua dan Emmanuel Kenmoge (64′) manakala gol tunggal Sarawak disumbang oleh pemain import dari Australia, Ryan Griffiths pada minit ke-30.

 

Terdahulu, Sarawak berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-77 namun sepakan penalti yang diambil oleh Griffiths ditangkap kemas oleh penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

 

Kuala Lumpur pula membenam pasukan Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), MOF FC 3-1 di Stadium Inspen, Bangi.

 

Turut mara ke pusingan ketiga adalah juara tiga kali, Kedah yang terpaksa berhempas pulas sebelum menang 1-0 ke atas wakil kelab Terengganu, Hanelang FC hasil jaringan tunggal Muhd Farhan Roslan pada minit ke-35 di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

 

Skuad Helang Merah bakal berdepan sama ada Johor Darul Ta’zim II atau PKNS FC pada pusingan ketiga nanti.

 

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, pasukan Negeri Sembilan mengalahkan  UiTM FC 2-0 hasil jaringan penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe pada minit ke-21 dan 80′.

 

Skuad Rusa dijadual menentang Pulau Pinang atau Perlis pada pusingan seterusnya.

 

Pertemuan dua pasukan Liga FAM di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang menyaksikan Misc-Mifa menang tipis 1-0 ke atas Sungai Ara FC hasil jaringan tunggal Muhammad Fuzi pada minit ke-26.

 

Mereka bagaimanapun berdepan laluan berliku selepas dijadual menentang Pahang atau Johor Darul Ta’zim pada pusingan ketiga nanti.

 

Perlawanan pusingan kedua antara Pahang dan Johor Darul Ta’zim yang sepatutnya berlangsung pada 1 Mac ditunda kepada 2 Mac ini di Kuantan, memandangkan kedua-dua pasukan terlibat dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), minggu ini.

 

Sebanyak 16 pasukan bakal berentap pada pusingan kedua, esok bagi merebut lapan slot ke pusingan ketiga Piala FA.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.