PRK Chempaka: Ahli UMNO Tawar Diri Bertanding, Sanggup Dipecat

Kuala Lumpur  – Aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Fadzillah Hussin menawarkan diri bertanding atas tiket bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chempaka 22 Mac ini.

 

Menyifatkan peringatan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai kenyataan politik, katanya, beliau menyertai parti itu sejak berumur 18 tahun.

 

Katanya, walaupun menjadi ahli UMNO Cawangan Kepala Batas di Tumpat beliau tidak pernah memegang sebarang jawatan, apatah lagi aktif dalam parti itu.

 

Beliau berkata, peringatan Mustapa tidak menjejaskan hasrat, tujuan dan niatnya untuk bertanding merebut kerusi DUN Chempaka yang kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari lalu.

 

“Saya menjadi ahli UMNO sejak dulu lagi dan tidak pernah berbelah bahagi memberi sokongan kepada parti. Apapun, saya anggap kenyataan Tok Pa (Mustapa) adalah kenyataan politik yang tidak akan memberi apa-apa kesan kepada saya.

 

“Kalau saya dikenakan tindakan lucut keahlian sekalipun, ia tidak menjejaskan hasrat dan niat saya untuk bertanding kerana saya adalah orang yang menyokong dasar kerajaan,” katanya, lapor MalaysiaGazette.

 

Semalam, Mustapa dalam kenyataannya di Kota Bharu berkata, anggota Barisan Nasional (BN) akan dikenakan tindakan sekiranya mengambil kesempatan bertanding atas tiket Bebas pada PRK DUN Chempaka 22 Mac ini.

 

Menurut Fadzillah yang juga Yang Dipertua Kelab Bumi Rahmat, jika keahliannya dipecat, beliau tidak teragak-agak akan menubuhkan parti baru yang diberi nama parti Bumi Rahmat menggunakan lambang kijang.

 

Jelasnya, beliau banyak menghabiskan masa berjuang bersama NGO yang menyokong dasar kerajaan Pusat.

 

Beliau turut memberitahu, akan mengadakan rapat umum dan menyampaikan ucapan pertamanya bertajuk Perpaduan Melayu Islam di Kelantan di kawasan DUN Chempaka.

 

“Saya akan maklumkan tarikh dan tempat kemudian. Saya juga akan memaklumkan kepada rakyat tujuan saya masuk bertanding,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.