Pemimpin PAS ‘Pulau’ Program Makan Malam PasMa

Kuala Lumpur – Hanya ADUN PAS Hulu Kelang, Saari Sungib yang digantung menyertai sebarang aktiviti PAS selama setahun sahaja hadir pada jamuan majlis makan malam anjuran Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).

 

Menurut Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Zawawi, pada awal ramai pimpinan utama PAS menyatakan kesedian mereka untuk memberi sokongan kepada majlis yang dianjurkan persatuan itu, tetapi mereka diberi amaran keras oleh pimpinan parti supaya membatalkan hasrat tersebut.

 

“Pada saat akhir mereka membuat keputusan untuk tidak hadir akibat mendapat arahan daripada pemimpin mereka, sekiranya mereka hadir tindakan akan diambil,” katanya semasa berucap dalam ucapan majlis makan malam PASMA malam tadi.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, PAS tidak perlu bimbang kerana PASMA bukannya sebuah pertubuhan yang bertujuan untuk merampas kuasa politik dalam Pakatan Rakyat (PR) sehingga menggusarkan mereka.

 

“Gerakkan yang kita lakukan untuk menyokong PR, ini cukup jelas peranan kita. Tidak ada kaitan PasMa nak terlibat dengan soal masalah dalaman parti termasuk, DAP, PKR dan PAS dan kita mengulangi pendirian bahawa kita tidak akan menjadi parti politik,” katanya.

 

Beliau  turut menafikan dakwaan kononnya PasMa ditaja oleh DAP untuk menggulingkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang daripada menerajui PAS.

 

“Naik turun kepimpinan  bukan ditentukan PasMa kerana kami tidak boleh mengundi macam mana kita nak tentukan siapa presiden?,” soal Phahrolrazi.

 

Pada masa sama, beliau turut menyatakan pendirian bahawa perlaksanaan hukum Hudud di Kelantan bukannya agenda utama NGO itu, malah PasMa tidak menetapkan sebarang pendirian dalam mana-mana isu yang melibatkan PR termasuk Hudud.

 

Katanya,  fokus utama pertubuhan itu adalah untuk memastikan pemimpin PR dapat mencapai kata sepakat terhadap mana-mana isu yang berbangkit serta memenangi PRU pada masa akan datang.

 

“Sebarang isu termasuk  Hudud atau persempadanan semula (pilihan raya), kita nak pimpinan PR mencapai persetujuan, konsesus. Kita tak terlibat untuk buat keputusan terhadap isu yang spesifik,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.