PDRM Tubuh Pasukan Khas Jejaki Kumpulan Bertopeng

Kuala Lumpur – Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pasukan khas dan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menjejaki kumpulan yang mengeluarkan ugutan terhadap Ketua Polis Negara.

 

Perkara itu disahkan oleh timbalannya, Datuk Sri Noor Rashid Ibrahim kepada BERNAMA, hari ini.

 

Pada 25 Februari lalu, sebuah video sepanjang 1:27 minit memaparkan tiga lelaki bertopeng yang menggelarkan diri sebagai Anak Muda Anti Demokrasi (AMAD) menjadi viral di media sosial.

 

Mereka yang sebelum ini merancang untuk meletupkan mercun di semua mahkamah seluruh negara pada 11.30 malam 18 Februari lalu, kali ini mengugut mahu meletupkan kereta dan membunuh Khalid.

 

Namun Khalid berkata, beliau tidak gentar dengan ugutan AMAD dan menganggap mereka tidak bertanggungjawab serta memberi gambaran buruk terhadap sistem demokrasi berpelembagaan di negara ini.

 

“Ugutan sedemikian langsung tidak menakutkan saya sebagai Ketua Polis Negara dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.

 

 

Dalam perkara lain pula, Noor Rashid berkata pihak PDRM akan berbincang dengan pejabat Peguam Negara bagi membawa balik bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar yang kini berada dalam tahanan pihak berkuasa imigresen Australia.

 

Sirul dan seorang lagi anggota UTK, Cif Inspektor Azilah Hadri dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan selepas didapati bersalah membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

 

Panel Hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebulan suara menolak keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan Azilah dan Sirul selepas membenarkan rayuan mereka.

 

Sirul kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari lalu setelah ‘amaran merah’ dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol).

 

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar dan ibu Sirul, Piah Samat dijangka berlepas ke Australia hari ini (28 Februari), pada jam 7 petang.

 

Percubaan Mahfuz untuk mengadakan telesidang bersama media pada 23 Februari lalu, gagal kerana Sirul tidak dapat dihubungi.

 

Namun, beberapa jam kemudian Sirul berjaya menghubungi Mahfuz dan mengucapkan terima kasih kepada semua wakil-wakil agensi media di Malaysia kerana telah membuat liputan terhadap dirinya, namun menyatakan tidak berhasrat membuat sebarang kenyataan waktu ini.

 

 

Bagaimanapun katanya, dia akan membuat kenyataan berhubung pendedahan terhadap kes yang dihadapinya itu pada masa dan waktu yang sesuai.

 

Sirul turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Australia yang telah memberi perlindungan dan menyediakan tempat yang boleh dikira selamat dan selesa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.