PAS Akan Berpecah Selepas Muktamar Agung 2015 – Zuhdi

Kota Bharu – PAS dijangka berpecah menjelang Muktamar 2015 pada Jun berikutan kemunculan kumpulan yang tidak sehaluan dengan kepimpinan ulama dalam parti itu.

 

Ketua Pegawai Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, ia merupakan penyelesaian terbaik kepada kemelut dalaman yang melanda parti itu sekarang.

 

Beliau berkata, kemelut dalaman PAS berputik sejak 1998 apabila wujud kumpulan tertentu yang berhasrat menjatuhkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 

Menurutnya, pada 1998 PAS menjadi begitu terbuka menyebabkan kemasukan banyak kumpulan dari luar dan kumpulan berkenaan membentuk pasukan dalam PAS.

 

“Sebelum itu (1998) budaya ‘team’ tidak ada dalam PAS tetapi ia muncul selepas itu (1998) dan sekarang ini ia menjadi semakin membarah,” katanya kepada pemberita selepas Wacana Ilmiah: PAS: Semalam, Hari Ini dan Esok di Pengkalan Chepa.

 

Tanpa menyebut nama kumpulan atau individu terlibat, kata Mohd Zuhdi, kumpulan berkenaan akhirnya akan keluar daripada PAS untuk membentuk parti baru.

 

“Saya yakin selepas Muktamar Agung PAS 2015 ini akan berlaku dalam PAS iaitu akan ada dua kumpulan dengan satu daripadanya akan berpecah dari PAS dan tubuh parti baru, itulah penyelesaian yang akan menyebabkan PAS kembali kepada suasana harmoni,” jelas beliau.

 

Mengenai cabaran lain yang sedang dihadapi PAS, beliau memberitahu, PAS sekarang sedang berhadapan dengan wajah sebenar DAP, rakan sekutunya dalam pakatan pembangkang, terutama menentang pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

 

“Kita (PAS) perlu hadapi cabaran itu dengan jiwa besar iaitu kita masih melihat ada ruang untuk perkukuhkan hubungan dengan DAP dan PKR tetapi dengan harapan DAP dan PKR faham susur galur pembentukan masyarakat dan negara Malaysia,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.