Macam Mana Nak Minum Teh Dengan Tangan Bergari – Ibrahim Ali

Kuala Lumpur –  “Saya yang tidak menjadi banduan pun tidak mudah untuk menghadap, apatah lagi mahu minum teh dengan Yang di-Pertuan Agong, kata Datuk Ibrahim Ali yang menempelak tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah yang mahu bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk hadir minum petang bersama Yang di-Pertuan Agong.

 

Presiden Pertubuhan Pribumi PERKASA Malaysia (PERKASA) itu turut mempersoalkan bagaimana Ketua Pembangkang itu ingin minum teh jika tanganya bergari.

 

“Anwar nak pegang cawan untuk minum macam mana? Prosedur Operasi Standard (SOP) banduan, apabila dibawa keluar dari penjara mestilah dengan keadaan tangan bergari.

 

“Apakah Anwar layak duduk bersama dengan Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan tangannya bergari. Yang di-Pertuan Agong adalah Raja Payung negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT,” katanya.

 

Ibrahim juga berpendapat seorang banduan tidak boleh duduk semeja dengan Yang di-Pertuan Agong dan itu adalah hakikat dan beliau tidak berniat untuk menghina sesiapa.

 

“Saya ingin memberitahu kepada Nurul Izzah, ada masanya bapanya boleh minum teh dengan Yang di-Pertuan Agong selepas ini, seperti apabila tiba rezeki daripada Allah,” katanya.

 

Beliau juga mempersoalkan bagaimana Lembaga Pengampunan mempertimbangkan permohonan petisyen pengampunan Anwar ke atas kes liwatnya, sedangkan tertuduh tidak memohon maaf sendiri kepada Yang di-Pertuan Agong.

 

“Anwar sendiri selaku orang bersalah tidak mohon pengampunan. Mahkamah Persekutuan sudah membuat keputusan Anwar bersalah. Maka semua hak Anwar termasuk sebagai Ahli Parlimen sepatutnya terlucut secara automatik,” katanya.

 

“Apakah dengan rayuan yang dibuat oleh keluarga kepada Lembaga Pengampunan, maka hak Anwar tidak terjejas dari segi undang-undang.

 

“Kalau ini tafsir atau SOP undang-undang, kenapa Anwar dihantar ke penjara. Lembaga Pengampunan bukan sebahagian dari Sistem Kehakiman Mahkamah Negara. Mengikut tafsir, Anwar sudah hilang hak segala-galanya secara automatik di hari Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman.

 

“Malah yang merayu bukan orang bersalah dan bagaimana orang yang tidak dihukum boleh merayu. Bukankah aneh dan tentunya ini taktik kerenah politik beli masa,” ujar Ibrahim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.