Komplot Jatuhkan Presiden, Usaha Singkir Ulama PAS – Dr Najmil

Kuala Lumpur – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamad Aris menyifatkan pendedahan gerakan menjatuhkan Presiden PAS oleh Timbalannya sendiri memperlihatkan konflik dalaman parti tersebut sudah membusuk dan tidak dapat diselamatkan lagi.

 

Katanya, selain sebagai isyarat bahawa perpecahan dalaman PAS sudah ditahap kritikal,komplot itu juga sebenarnya membayangkan perencanaan untuk menghakis secara perlahan pengaruh ulama di dalam parti tersebut sedang giat dijalankan.

 

“Ini jelas apabila gerakan komplot menjatuhkan Haji Hadi didalangi nama-nama yang diketahui umum sebagai golongan pro Anwar yang mendokong pemikiran dan ideologi politik lebih liberal berbanding pemikiran dan pegangan politik majlis ulama PAS termasuk Haji Hadi.

 

“Majlis syura ulama PAS seringkali bertentangan pendapat dan membuat keputusan tidak seiring dengan kepimpinan tertinggi pakatan, contohnya dalam isu MB Selangor, kalimah Allah dan beberapa isu lain,” katanya kepada UMNO-Online.

 

Tambah beliau, sikap majlis syura ulama termasuk Presiden PAS yang bertentangan dengan kepimpinan tertinggi pakatan dilihat akan membantutkan harapan kepimpinan PAS yang berhasrat untuk menawan Putrajaya.

 

“Perkara ini sudah pasti tidak dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi PAS pusat yang dikuasai oleh golongan pro Anwar di mana mereka sudah merasakan majlis ulama seakan-akan penghalang cita-cita politik mereka untuk menjatuhkan BN seterusnya memegang teraju pemerintahan negara,” tegasnya.

 

Malah, katanya, pendedahan itu seolah-olah mengesahkan bahawa PasMa ditubuhkan sebagai persediaan awal untuk menggantikan PAS sekiranya gerakan menjatuhkan presiden PAS tidak berjaya.

 

Hari ini, tambah beliau, jelaslah bahawa PasMa bukan sekadar NGO tetapi merupakan tempat berkumpulnya golongan yang menolak kepimpinan Haji Hadi dan sebagai pesediaan menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya gerakan menjatuhkan Haji Hadi sekali gus melemahkan pengaruh ulama di dalam PAS gagal.

 

“Kita boleh lihat hari ini bahawa PAS, PKR dan DAP masih tidak mampu membentuk persefahaman walaupun hanya tiga parti bergabung di dalam pakatan. Konflik dalaman parti masing-masing pula lebih memburukkan keadaan,” tambah beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.