Harga Minyak Naik: Tunggu Pengumuman Rasmi Malam Ini – Hasan Malek

Shah Alam – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) meminta orang ramai menunggu pengumuman rasmi mengenai  berhubung harga runcit bahan api dijangka naik antara 6 sen sehingga 20 sen berkuat kuasa 12.01 pagi pada 1 Mac.

 

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata pihaknya enggan mengulas sebarang spekulasi yang tersebar luas di laman sosial.

 

Menurutnya, mereka diminta mengikuti pengumuman yang akan dikeluarkan pada malam ini untuk mendapatkan kepastian.

 

“Selalu orang bertanya dan bila tiba masanya saya akan umumkan. Malam ini kita akan ada pengumuman harga baru untuk Mac dan kita tunggulah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan promosi ‘Lebih Nilai, Lagi Hebat’ Nestle di di sini hari ini.

 

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad dan Pengarah Urusan Nestle (Malaysia) Berhad, Alois Hofbauer.

 

Hari ini, portal Melvister.com mengatakan bahawa harga rasmi bagi RON95 naik kepada RM 1.91 sen seliter berbanding RM1.70.

 

Bagi RON97 pula ia naik kepada RM2.11 daripada RM2.00 seliter manakala diesel pula naik kepada RM1.85 seliter berbanding RM1.70 seliter bagi harga pada bulan Februari 2015.

 

Beliau turut memberi jaminan kempen penurunan harga akan diteruskan di seluruh negara sekalipun berlakunya kenaikan harga ke atas bahan api bagi bulan Mac.

 

Menurutnya harga runcit petrol dan diesel bukan merupakan faktor tunggal dalam menentukan atau mempengaruhi kenaikan serta penurunan harga barangan kerana banyak faktor lain selain daripada harga minyak yang memainkan peranan dalam menentukan harga barangan.

 

“Petrol bukan faktor tunggal bagi kenaikan harga dan ia perlu difahami yang mana kerana harga barangan turut ditentukan oleh pasaran, permintaan dan juga bekalan.

 

“Oleh itu, program seperti yang diadakan pada hari ini akan diteruskan serta kempen-kempen melibatkan pasar raya besar juga telah dimuktamadkan,” katanya lagi.

 

Sebelum ini, Hasan telah mengumumkan KPDNKK akan mengadakan program penurunan harga barangan bermula 1 Mac ini yang akan dilaksanakan selama sebulan dan mungkin dilanjutkan jika memerlukan, bergantung kepada maklumbalas daripada pengguna.

 

Harga akan dikurangkan antara 10 dan 20 peratus dengan kerjasama pihak industri dan pasaraya utama.

 

Tambah Hasan lagi, KPDNKK mengalu-alukan usaha yang dilakukan oleh pihak swasta seperti Nestle dengan mengadakan promosi sekalipun ia tidak melibatkan penurunan harga sepenuhnya.

 

Jelasnya, kerajaan menggalakkan semua syarikat untuk turut serta dalam usaha memastikan harga serta nilai barangan pengguna kekal pada harga mampu  dan mengekalkan standard kualiti.

 

“Saya gembira dengan promosi yang dianjurkan oleh Nestle sebagai sebuah jenama barangan makanan dan minuman yang dikenali di Malaysia.

 

“Ia boleh dijadikan contoh kepada syarikat lain yang bukan sahaja dapat menurunkan harga dan mengadakan promosi tetapi dapat menawarkan nilai tambah terhadap produk mereka,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.