Bumiputera Sarawak Setuju Guna Terma Dayak Dalam Borang Rasmi

Kuala Lumpur – Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem kerana bersetuju dengan penggunaan perkataan “Dayak” untuk ruangan kaum dalam semua borang rasmi kerajaan.

 

“Ucapan yang baik Tan Sri Adenan semasa temu ramah bersempena setahun menjadi ketua menteri Sarawak yang disiarkan secara langsung di TV1 baru-baru ini,” kata Naib Presiden DBNA Joseph Jindy.

 

Jindy berkata DBNA berharap kerajaan negeri Sarawak memberi pengiktirafan dan DBNA memberi sokongan penuh terhadap penggunaan terma Dayak bagi menggantikan ‘Lain-lain’ untuk Bumiputera Sarawak.

 

“Dalam kes kami (Bidayuh) terma Dayak sudah lama digunakan dalam persatuan (DBNA) sejak 1955,” katanya.

 

Adenan semasa temu ramah berkata masyarakat Dayak sebulat suara bersetuju menggantikan perkataan ‘Lain-lain’ dalam semua borang rasmi kerajaan dengan perkataan ‘Dayak’.

 

Adenan sebelum ini berkata beliau memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak betapa peliknya memanggil orang Iban, Bidayuh dan Orang Ulu sebagai ‘lain-lain’ dalam borang kerajaan.

 

Katanya, apabila Najib bertanya balik bagaimana mereka harus dipanggil, beliau berkata memandangkan mereka Bumiputera, panggil mereka Bumiputera Iban, Bumiputera Bidayuh dan Bumiputera Orang Ulu.

 

“Tetapi sekarang mereka mahu dipanggil Dayak. Mungkin saya silap (berhubung bahagian Bumiputera). Mereka boleh gunakan apa saja nama yang mereka suka. Terpulang kepada mereka menggunakan nama yang mereka mahukan. Jika mereka mahu menggunakan ‘Dayak’, saya setuju,” kata Adenan.

 

Kini ia terletak pada tanggungjawab Jawatankuasa Teknikal Bumiputera Minoriti yang diketuai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun untuk mengemukakan cadangan kepada Kabinet.

 

Pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili masyarakat Dayak, parti dan ahli politik serta golongan intelek dan para pemimpin kaum berkenaan dilaporkan bersetuju penggunaan terma ‘Dayak’ adalah sesuai atas alasan ia sudah lama digunakan.

 

Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU), DBNA, Kongres Kebangsaan Dayak (DNC), Persatuan Graduan Dayak (SDGA) dan Presiden Parti Rakyat Sarawak Tan Sri Dr James Jemut Masing menyatakan pendirian memilih perkataan ‘Dayak’. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.