Bekas Wakil Rakyat Terkenal Ukraine Bunuh Diri

Kiev – Seorang sekutu penting bekas Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych ditemui mati, selepas terjatuh dari pangsapuri 17 tingkat, semalam.

 

Bekas wakil rakyat, Mykhaylo Chechetov adalah seorang daripada ahli politik terpenting di Ukraine, ketika Yanukovych yang mendapat sokongan Rusia, memimpin negara itu,

 

Chechetov, 61, ditemui mati pada lewat malam Jumaat di luar pangsapurinya, selepas beliau terjun dari tingkap rumahnya.

 

“Isterinya menjumpai satu nota di atas meja, menyatakan beliau tidak tabah untuk terus hidup lagi dan memohon maaf serta pemahamannya.

 

“Siasatan telah dibuka dan masih diadakan, tetapi semua fakta menunjukkan ini adalah kes bunuh diri,” kata jurucakap polis, Yulia Mustash kepada AFP.

 

Beberapa jam sebelum kematian Chechetov, ketua pendakwa raya memberitahu sebuah stesen televisyen tempatan bahawa bekas ahli parlimen itu akan berdepan beberapa pertuduhan baru.

 

Sebelum ini, Chechetov telah didakwa menyalahgunakan kuasa dalam cubaan untuk menghentikan bantahan yang akhirnya menyaksikan Yanukovych digulingkan, pada Februari 2014.

 

Yanukovych dan ramai sekutu utamanya kini hidup dalam buangan di Rusia, selepas melarikan diri dari Ukraine, pada Februari tahun lalu, apabila pasukan keselamatan menembak mati sejumlah penunjuk perasaan di tengah Kiev.

 

Ukraine menyalahkan Yanukovych atas pembunuhan penunjuk perasaan itu dan telah mendakwa dia atas pertuduhan rasuah, selepas kehidupan mewahnya didedahkan, susulan penggulingannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.