Anggota BN Bertanding Calon Bebas Di PRK DUN Chempaka Dikenakan Tindakan

Barisan Nasional (BN) akan mengambil tindakan ke atas mana-mana anggotanya yang bertanding atas tiket bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka 22 Mac ini.

 

Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata anggota parti harus akur dengan keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan untuk tidak meletakkan calon bertanding pada PRK berkenaan.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi bicara Komuniti Ekonomi Asean sempena Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi Asean di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota hari ini.

 

BN baru-baru ini mengumumkan tidak akan bertanding pada PRK DUN Chempaka pada 22 Mac untuk memberi fokus kepada kerja pemulihan pasca banjir di Kelantan serta membantu mangsa banjir di negeri itu, demi perpaduan ummah.

 

Mengulas mengenai tohmahan segelintir pihak yang mendakwa BN takut bertanding di kubu kuat PAS itu, Mustapa yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan sekali lagi menegaskan perpaduan ummah perlu diutamakan berbanding menambah bilangan kerusi dalam DUN.

 

“Itu sebabnya kita tak bertanding (mahu ummah bersatu). Lepas banjir ni kita redakan (ketegangan), kita dah ada perkara yang kita buat bersama (antara kerajaan persekutuan dan negeri) dan kita fokus kepada kepentingan rakyat.

 

“Ada perkara yang kita boleh berbeza pendapat tapi ada yang kita harus (duduk) bersama dan kita harap ada titik pertemuan dalam hal penting untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.

 

Kerusi DUN Chempaka kosong berikutan penyandangnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia akibat kanser prostat pada 12 Februari lepas. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.