1MDB Dana Awam, Bukan Untuk Kepentingan Peribadi, – PM

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak akan membenarkan sesiapa pun menggunakan dana awam bagi kepentingan peribadi.

 

Dalam posting di laman Facebook beliau malam tadi, Najib berkata, 1MDB merupakan sebuah syarikat pembangunan strategik milik kerajaan Malaysia.

 

Najib berkata beliau sedar tohmahan yang mengaitkannya dan keluarga dengan syarikat yang dibebani hutang itu, yang terbaru, dakwaan artikel Harakahdaily mengatakan anak tirinya Riza Aziz mendapat manfaat daripada dana 1MDB untuk syarikat perfilemannya.

 

“Ingin saya tegaskan di sini, 1MDB ialah sebuah syarikat pembangunan strategik, dimiliki kerajaan Malaysia dan saya tidak akan sesekali membenarkan sesiapa menggunakan atau menyeleweng dana awam untuk kepentingan dan keuntungan peribadi,” katanya dalam laman sosial itu.

 

Maklumat dalam artikel bertarikh 19 Februari itu, bertajuk ‘Dana 1MDB Biaya Syarikat Filem Riza Aziz (Bhg 2)’, adalah “fitnah pihak tidak bertanggungjawab yang tidak lebih daripada sekadar pembohongan, langsung tidak bersandarkan fakta dan tanpa apa-apa bukti kukuh”.

 

“Sebagai perdana menteri, saya sedia menerima kritikan membina.

 

“Tetapi apabila fitnah liar yang sama-sekali tidak berasas dilemparkan kepada keluarga saya, saya tidak akan berdiam diri atau bertolak-ansur,” katanya.

 

Najib berkata beliau menghantar surat tuntutan kepada Harakahdaily berhubung artikel tersebut bagi melindungi beliau dan keluarganya daripada fitnah.

 

“Sebagai warga negara Malaysia, saya berhak mempertahankan diri saya dan keluarga daripada fitnah jahat ini menggunakan sistem undang-undang negara.

 

“Saya mengarahkan peguam mengambil tindakan undang-undang menuntut HarakahDaily menarik balik artikel tersebut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.