Tan Sri Adenan Satem Angkat Sumpah

Petra Jaya: Tan Sri Adenan Satem, 70, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Ke-5 dalam istiadat penuh bersejarah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Astana Negeri, tepat jam 9.40 pagi tadi.

Beliau menggantikan Ketua Menteri paling lama dalam sejarah negara, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, 78, yang bersara bermula hari ini, seterusnya bakal dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri baru, menggantikan Tun Abang Muhammad Salahuddin, 92, yang tamat tempoh perkhidmatannya, juga pada hari ini.

Adenan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu itu mula menyertai Kabinet Sarawak selepas peristiwa Ming Court pada 1987. Beliau antara pemimpin paling senior dalam Kabinet Sarawak selepas Abdul Taib dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Sementara itu, Abdul Taib dijadualkan berlepas ke Kuala Lumpur sebelum Solat Jumaat untuk mengadap seterusnya menerima watikah pelantikannya sebagai Yang di-Pertua Negeri Ke-7 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah di Istana Negara kira-kira jam 3 petang ini sebelum kembali semula ke Kuching menggunakan pesawat khas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.