Pemain Harimau Malaya diharap pamer aksi terbaik

PETALING JAYA – Ketua jurulatih sementara skuad Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee berharap pemain pasukan itu meraih keputusan positif pada aksi persahabatan menentang Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang esok.

Kim Swee, yang juga Ketua Jurulatih skuad B-23 (Harimau Muda A) berkata keputusan positif boleh menjadi pembakar semangat ketika pemain berdepan Yaman pada perlawanan terakhir kumpulan D, Kelayakan Piala Asia 2015 di UAE, empat hari kemudian.

“Sudah tentu kita ingin dapatkan satu keputusan yang positif di mana kita sudah berlatih begitu lama dan yang penting, para pemain harus mempamerkan satu corak permainan yang lebih agresif berbanding sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat pengurus pasukan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia, Kelana Jaya hari ini.

Pengendali berusia 43 tahun itu bagaimanapun mengingatkan pemain agar tidak memandang rendah keupayaan pasukan lawan bimbingan Thomas Dooley meskipun sebelum ini skuad Harimau Malaya mempunyai rekod cemerlang ketika menentang mereka.

“Kedudukan Filipina pada ranking ke-127 dunia kini, selain layak ke separuh akhir Piala AFF Suzuki sebanyak dua kali berturut-turut, menunjukkan pasukan ini bukan mudah untuk dikalahkan,” katanya sambil menambah beliau akan mencuba beberapa gandingan baharu pada perlawanan esok.

Berkongsi pandangan sama ialah Kapten skuad kebangsaan Aidil Zafuan Abdul Radzak yang turut menyeru rakan sepasukan memberi persembahan cemerlang pada aksi persahabatan berdepan Filipina.

“Saya baru pertama kali di bawah jurulatih (Kim Swee), namun saya dan rakan sepasukan sudah mula menyesuaikan diri dengan corak latihan diterapkan oleh jurulatih… Terpulang kepada jurulatih untuk menentukan barisan pemain pada perlawanan esok,” katanya yang baru sembuh daripada kecederaan lutut.

Sementara itu, Dooley yang mengambil alih skuad ‘The Azkals’ awal bulan ini berkata perlawanan itu merupakan sebahagian daripada persediaan mereka untuk Piala AFC yang bakal berlangsung di Maldives Mei ini.

Beliau berkata anak didiknya akan mempamer aksi terbaik pada perlawanan itu meskipun kehilangan beberapa pemain utama yang gagal mendapat kebenaran daripada kelab masing-masing untuk beraksi esok.

“Ini merupakan ujian pertama saya sejak menjadi jurulatih pasukan ini pada awal bulan. Kami tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukan persediaan bagi menghadapi perlawanan ini dan hanya memulakan latihan kira-kira 10 hari lepas namun saya harap anak didik saya akan memperoleh keputusan yang baik,” katanya.

Bekas Ketua Pasukan Amerika Syarikat itu juga berkata pasukannya akan berlepas ke Emiriah Arab Bersatu pada 5 Mac untuk satu lagi perlawanan persahabatan di peringkat antarabangsa iaitu menentang Azerbaijan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.