Desailly Belum Layak Jadi Jurulatih Negara

Kuala Lumpur: “Jangan main rembat saja takut nanti kita yang rugi kerana terpaksa membayar khidmat dengan harga terlalu tinggi,” demikian reaksi bekas pemain negara Khalid Ali.

Beliau mengulas kesediaan bekas kapten Piala Dunia Perancis Marcel Desailly untuk membimbing Harimau Malaya jika khidmatnya ditagih Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantikan Datuk K Rajagobal yang kosong selepas kontraknya tamat 31 Disember lalu.

Khalid yang mengikuti perkembangan semasa bola sepak tempatan dan antarabangsa menegaskan bintang Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 itu masih belum layak memikul tanggungjawab sebagai jurulatih negara.

“Semalam beliau terang-terang cakap yang beliau baru saja memperoleh lesen jurulatih. Jadi pada pendapat saya, pengalaman sebagai jurulatih baru bermula dan tugas untuk mengendalikan pasukan negara bukan tugas mudah memandangkan kita perlu bermula dari bawah.
“Sepatutnya kita perlu tumpukan mencari jurulatih benar-benar hebat dalam bidang kejurulatihan bukan hebat sebagai pemain. Saya katakan kerana tidak semua pemain hebat.
“Contohnya legenda dunia Diego Maradona, beliau tidak hebat pun ketika mengendalikan pasukan kebangsaan Argentina pada Piala Dunia Afrika Selatan 2010. Tetapi pengurus Chelsea, Jose Mourinho dan pengurus Arsenal, Arsene Wenger lebih berjaya sebagai jurulatih walaupun dahulunya mereka bukan pemain terkenal,” katanya.

“FAM jangan terburu-buru atau termakan kata-kata pemain itu untuk mengendalikan pasukan negara.

“Sudah pastinya beliau perlu dibayar dengan harga yang sangat mahal. Saya khuatir jika FAM berbelanja besar membayar gajinya hanya kerana biodata hebat ketika bergelar pemain, mungkin dia gagal membawa skuad negara ke satu dimensi baru.

“Bagi saya, calon terbaik haruslah berlandaskan ilmu dan pengalamannya dalam menguruskan pemain serta pasukan dalam tempoh yang lama. Justeru, saya berharap FAM janganlah tangkap muat saja dalam usaha mengisi jawatan jurulatih kebangsaan,” katanya.

Desailly secara terbuka menyatakan hasratnya itu ketika ditemui pada sidang akhbar Anugerah Sukan Dunia Laureus 2014 di Kuala Lumpur.

Ketika ini skuad negara dibimbing sementara Datuk Ong Kim Swee bagi persiapan menghadapi perlawanan persahabatan menentang Filipina esok dan Yaman dalam saingan kelayakan Piala Asia, 5 Mac ini. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.