Teguran Sebagai Peringatan – Hafiz Hamidun

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hafiz Hamidun, takkan berhenti meluahkan pendapat atau berkongsi nasihat di laman sosial walau ada yang mempertikai sejarah rumah tangganya.

Katanya, setiap orang berhak memuat naik perkongsian atau melayangkan komen, dan sebagai pemerhati, dirinya juga bebas memberikan maklum balas andai ia bertujuan baik.

“Apa kaitan antara isu perkahwinan saya yang sudah berlalu, dengan niat baik saya mahu menyuntik kesedaran kepada masyarakat supaya jangan memandang ringan terhadap dorongan membunuh diri?

“Teguran itu saya kongsi untuk memberi peringatan, jangan jadikan isu serius terutama bunuh diri sebagai sesuatu yang boleh menjadi gurauan. Banyak lagi perkara lain yang boleh dijadikan bahan lawak.

“Ada juga yang menyelar saya kerana menegur rakan artis itu secara terbuka, bukannya melalui mesej peribadi. Gurauan itu dilakukan secara terbuka, jadi saya perlu meluahkan teguran saya juga dengan cara sama supaya mesej itu sampai kepada semua orang,” kata penyanyi yang turut dikenali sebagai komposer itu.

Menurut Hafiz, tindakannya berkongsi peringatan berkenaan untuk dirinya juga.

“Lagipun, semuanya berbalik kepada niat, selain pada masa sama ia turut menjadi peringatan kepada saya supaya fikir dulu sebelum membalas komen yang boleh memudaratkan insan lain,” katanya ketika ditemui di sini.

Terdahulu, nama Hafiz, 33, ‘panas’ di laman sosial selepas dia memuat naik perkongsian di Twitternya yang berbunyi: “Bunuh diri itu haram. Tapi, kalau suruh orang bunuh diri (kalau bergurau sekali pun) memang tak lawak dan tak guna punya pemikiran.”

Sememangnya, ia ditujukan kepada pelakon sensasi, Fathia Latiff, yang ketika itu meninggalkan komen berbunyi: “Tak ada ‘scene’ bunuh diri ke? Alang-alang tu pergi bunuh diri” di siaran video langsung Instagram Iqram Dinzly.

Fathia bagaimanapun, sudah membuat permohonan maaf kepada Iqram atas komen kontroversinya itu.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.