Shafie Apdhal Nafi ‘Hubungan Sulit’ Dengan PPBM Selepas Rakyat Sabah Tolak Mahathir

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memilih ‘jalan selamat’ dengan menafikan hubungan ‘sulit’ dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) setelah menyedari rakyat menolak kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad di negeri itu.

Pengerusi Gabungan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, penolakan itu jelas dapat dilihat apabila hampir tiada langsung penganjuran program PPBM di Sabah.

“Rakyat Sabah jelas masih menyimpan dendam terhadap Tun Mahathir semasa Tun masih lagi menjadi Perdana Menteri apabila dilihat sering mendiskriminasi Sabah semasa beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zulkarnain juga berkata, dengan berselindung di sebalik penafian itu dapat meyakinkan rakyat Sabah kononnya Parti Warisan Sabah (Warisan) berkonsepkan sepenuhnya parti dari Sabah.

“Laungan Warisan kononnya ‘Sabah for Sabahan’, ini sebenarnya retorik yang sengaja dibuat oleh Shafie Apdal dan partinya untuk menguji kecerdikan pengundi di Sabah,” katanya.

Katanya lagi, Warisan turut dilihat lebih vokal menolak sebarang kerjasama dengan PH hanya kerana mereka akan bertanding di semua kawasan Parlimen dan DUN di Sabah.

“Harus diingat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP di Sabah sudah tentu tidak akan menyerahkan kerusi tradisi mereka kepada Warisan.

“Tindakan Mohd Shafie sebenarnya hanyalah taktik untuk mengaburi mata pengundi di Sabah menjelang Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.