‘Saya Terpaksa Tinggal-Tinggalkan’

Sejak kembali bergelar suami pada 9 Disember lalu, pelawak dan pelakon popular Tauke, 41, mengakui dia kurang meluangkan masa bersama isteri, Nadia Mohd Affendi, 28, berikutan jadual kerja yang terlalu padat.

Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria berkata, selepas majlis resepsi mereka, jadual kerjanya penuh dan dia mahu menghabiskan kerjanya terlebih dulu sebelum pergi berbulan madu.

“Kami belum pasti lagi mahu ke mana kerana semuanya masih dalam perbincangan. Namun, saya merancang membawa isteri bercuti ke pulau dalam negara saja,” katanya.

Ditanya mengapa memilih pulau berbanding lokasi peranginan lain, Tauke berkata, mereka suka melakukan aktiviti selam scuba.

Katanya, percutian itu hanya dapat direalisasikan selepas selesai penggambaran sitkom Mamu Mami Gosip dan program komedi Lawak Solo Duo Trio.

Dalam pada itu, dia juga lega kerana selepas berkahwin, tidak ada apa lagi yang perlu disorokkannya.

Jika sebelum ini Tauke sangat berahsia tatkala berbicara soal cinta dan kekasih, kini segalanya lebih terbuka untuk peminat dan media.

“Bezanya apabila sudah berkahwin, tidak berasa segan untuk keluar bersama dan tak perlu sorok lagi! Cuma selepas resepsi lalu, kami belum sempat berbulan madu.

“Saya juga minta maaf kepada tetamu yang hadir ke resepsi lalu atas kekurangan majlis itu. Difahamkan ada yang tidak dapat tempat duduk kerana tetamu terlalu ramai,” katanya.

Tauke akui kehadiran isteri banyak mematangkannya dan lebih melegakan, kedudukan kewangannya juga lebih stabil.

“Saya memang ada perkahwinan impian dan bersyukur segala yang diinginkan tercapai pada perkahwinan kali ini. Sebelum ini mungkin tidak berkemampuan. Paling penting hubungan suami isteri diharap kekal hingga akhir hayat,” katanya yang sudah tiga kali berumah tangga.

Melalui perkahwinan lalu, pelawak itu dikurniakan enam anak berusia antara lapan sehingga 16 tahun.

Ambil watak kawan praktikkan dalam Mamu Mami Gosip

Bercerita mengenai sitkom Mamu Mami Gosip, pelakon Hantu Bungkus Ikat Tepi ini berkata, ia pengalaman pertama berlakon sitkom.

Tauke memegang watak Salim A’A, seorang penganggur yang suka melaram tetapi mulut kecoh dan suka buat huru-hara selain menyebarkan gosip.

Pada masa sama, dia juga suka mengganggu anak gadis tetapi sangat menyukai Juwita, lakonan Elisya Sandha.

“Dari segi luaran, tiada beza tetapi wataknya saya ambil daripada seorang kawan yang memang ada perangai begitu. Kawan saya itu tahu mengenai hal ini dan dia pun tak kisah. Dia juga datang ke set penggambaran untuk menjadi penonton,” katanya ketawa.

Sebelum ini dia lebih banyak terbabit dalam persembahan berbentuk sketsa pendek dan lawak pentas yang tidak terlalu bergantung kepada skrip, selain filem dan telefilem.

Tauke lebih suka skrip yang hanya memberi guide (bimbingan) dan hala tuju yang kemudiannya akan dipelbagaikan mengikut kreativiti.

Bagaimanapun, dia faham untuk sitkom itu tidak semua pelakon terbabit adalah pelawak dan mereka ini perlukan bimbingan dan skrip.

“Cuma, andai pelakon itu boleh ‘bermain’, saya akan ‘bermain’ dengannya tetapi jika mereka terpaksa ikut skrip, saya akan tambah sikit cara saya dan beri ‘input’ untuk memudahkannya.

“Kelainan watak ini, ia betul-betul berdasarkan watak, cara cakap dan kelakarnya. Lawak Jambu ialah Jambu tetapi lawak watak Salim adalah berdasarkan wataknya,” katanya.

Disebabkan mahu memberi sepenuh komitmen pada sitkom sebanyak 50 episod itu, Tauke terpaksa menolak tawaran persembahan pada hujung minggu.

Penggambaran sitkom terbitan FS Creative Sdn Bhd itu mengambil masa 20 hari dan selesai pada 8 Januari lalu.

Ia dijangka ditayangkan pada April ini.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.