Malaysia Kaji Semula Dagangan Dengan Negara EU Boikot Minyak Sawit

BAGAN DATUK – Kerajaan akan mengkaji semula dagangan dengan negara Kesatuan Eropah (EU) yang mengecualikan minyak sawit daripada campuran biofuel dan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2021, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan EU itu akan memberi kesan dan menjejaskan pendapatan lebih 500,000 pekebun sawit di seluruh negara jika diteruskan.

“Mesyuarat Kabinet minggu lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memutuskan kerajaan akan mengkaji semula pembelian barangan dari mana-mana negara yang memboikot penggunaan kelapa sawit.

“Mereka pandai melakukan pelbagai usaha pemasaran supaya kita beli barangan mereka, tetapi barangan kita (mereka) tidak mahu beli. Malaysia bukan negara yang boleh diperkotak-katikkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Hello Komoditi Bagan Datuk di Dewan Dato’ Mohamed Jamrah, Sungai Sumun dekat sini, hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin.

Ahmad Zahid berkata, bagi tempoh Januari hingga November 2017, eksport produk berasaskan komoditi berjumlah RM129.1 bilion atau 15.1 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

Daripada jumlah itu, katanya, sejumlah 55.4 peratus atau RM71.5 bilion disumbangkan sektor sawit.

Timbalan Perdana Menteri berkata, jika EU benar-benar mahu melaksanakan langkah itu, ia boleh dianggap sebagai diskriminasi dan menjejaskan permintaan terhadap minyak sawit yang juga penyumbang terbesar komoditi negara.

“Sektor komoditi adalah tulang belakang utama yang mana ia bukan saja menyumbang dalam meningkatkan pendapatan negara, bahkan turut menjadi antara kegiatan ekonomi rakyat.

“Sehubungan itu, kerajaan akan mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan masa depan sektor minyak sawit negara terpelihara,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.