Mahathir dan PH Amal Politik Terdesak, Cuba Undang Campur Tangan Asing – Anifah

KUALA LUMPUR – Tindakan pembangkang mengadakan pertemuan dengan barisan Duta Besar Kesatuan Eropah (EU) disifatkan sebagai politik terdesak yang mengundang campur tangan dan tekanan kuasa asing terhadap prinsip demokrasi negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata ia tidak lebih daripada helah dan hipokrasi politik Tun Dr Mahathir Mohamad yang membelakangi kepentingan negara serta rakyat demi meraih kuasa.

Anifah berkata, Dr Mahathir amat lantang mengkritik negara barat ketika menjadi Perdana Menteri.

“Tindakan Dr Mahathir dan pembangkang membabitkan duta asing dalam usaha meremehkan strategi kerajaan akan menampakkan siapa sebenarnya menjulang dan mempertahankan hak serta martabat dan kedaulatan negara.

“Politik sempit pembangkang merumitkan strategi dan dasar kerajaan untuk membela rakyat negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pertemuan itu jelas mengundang campur tangan asing dalam urusan negara manakala perkara dibangkitkan dalam turut menjejaskan maruah dan kedaulatan tanah air.

“Pembangkang membangkitkan isu berhubung pentadbiran negara dan meminta campur tangan asing dalam urusan negara.

“Ini menjejaskan usaha kerajaan mempertahan kedaulatan dan imej negara, termasuk industri kelapa sawit yang boleh memberi kesan langsung terhadap ribuan pekebun kecil,” katanya.

Ketika Malaysia disanjung dunia manakala ekonomi negara rancak dan kukuh, Anifah berkata, politik pembangkang mengundang pembabitan luar mempamerkan niat sebenar mereka membelakangi kedaulatan negara serta kesejahteraan rakyat.

“Kita difahamkan Duta Besar EU tidak berhasrat mendengar tuduhan negatif pembangkang terhadap kerajaan.

“Bagaimanapun, tindakan pembangkang berusaha membabitkan kuasa asing jelas tidak patriotik dan meremehkan maruah negara bangsa,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia tidak menghalang duta asing mengamalkan amalan diplomatik antarabangsa, selari norma dan nilai yang termaktub dalam Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak akan teragak-agak membela hak rakyat dan kedaulatan negara, termasuk mengambil tindakan tegas ke atas pihak asing yang melanggar norma serta nilai yang termaktub dalam konvensyen itu. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.