Kerajaan Kaji Langkah Perancis Gubal Undang-Undang Perangi Berita Palsu – PM

KOTA BHARU – Kerajaan sedang mengkaji sama ada akan mengikut jejak langkah Perancis dalam menggubal undang-undang baharu bagi memerangi berita palsu yang memberi kesan kepada proses demokrasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, berita palsu yang disebarkan di laman sosial boleh memberi ancaman kepada politik dan ketenteraman awam.

“Berita palsu ini memberi ancaman kepada politik dan ketenteraman awam, rakyat boleh terpesong dan benci kepada kerajaan sehingga boleh menimbulkan rusuhan,

“Bukan kita mahu mengawal internet, internet masih bebas cuma mesti ada unsur tanggungjawab dalam menyebarkan sebarang berita,” katanya pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama kakitangan awam di sini hari ini.

Najib berkata, kerajaan sendiri menjadi sasaran fitnah yang disebarkan di laman sosial sehingga menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

Ianya termasuk dakwaan membawa masuk 40,000 pengundi Bangladesh untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

Pada awal bulan ini, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan beberapa langkah memerangi pengaruh berita palsu yang disifatkan boleh memberi kesan kepada proses demokrasi di negara tu.

Perancis akan mengubah undang-undang sedia ada demi melindungi negara demokrasi ini daripada ancaman berita palsu.

Sementara itu sewaktu berucap di majlis ramah mesra bersama kakitangan awam di Wisma Persekutuan yang dihadiri lebih 10 ribu kakitangan awam Jabatan Persekutuan di Kelantan, Najib menyatakan peranan kakitangan awam penting sebagai tulang belakang dan benteng kepada kerajaan.

Katanya, sepanjang Rancangan Malaysia ke-4 (RMK4) hingga RMK8, RM12 bilion telah diperuntukkan untuk projek pembangunan di Kelantan.

Namun semasa era beliau, iaitu dari RMK9 hingga RMK11, lebih RM14 bilion telah diperuntukkan untuk projek pembangunan di Kelantan.

Ini membuktikan Kelantan tidak dipinggirkan bahkan beliau berlaku adil untuk semua rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustafa Mohamed; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.