Adun PKR Simpati Nasib Adun DAP Ditekan Kerajaan P.Pinang

PULAU PINANG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu yang dikenakan pelbagai tekanan oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang ketika ini terus mendapat sokongan pelbagai pihak kali ini daripada ADUN PKR Penanti, Dr. Norlela Arifin.

Sambil melahirkan rasa simpati dengan nasib yang menimpa Yee Cheu, Norlela turut menyifatkan wakil rakyat DAP berkenaan sebagai seorang pemimpin yang prihatin berhubung masalah alam sekitar serta urus tadbir negeri yang baik.

Malah, beliau turut menganggap Yee Cheu sebagai seorang wakil rakyat yang jujur selain rakan seperjuangan yang membangkitkan isu berkenaan rakyat dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan DAP Pulau Pinang dapat mempertimbangkan untuk memaafkan Yee Cheu sekali gus menarik semula semua tekanan yang dikenakan terhadap wakil rakyat DAP berkenaan.

“Mungkin ketika beliau mengumumkan untuk keluar parti DAP selepas PRU-14, beliau sebagai seorang pejuang alam sekitar sangat sedih berhubung bencana tanah runtuh yang berlaku di kawasannya sehingga menyebabkan kematian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai tekanan demi tekanan yang dikenakan Kerajaan DAP Pulau Pinang dan DAP terhadap Yee Cheu ketika ini selepas ADUN Tanjung Bungah berkenaan sering mengkritik kerajaan negeri selain mengumumkan meninggalkan DAP selepas Parlimen dibubarkan.

Terbaharu, seramai lima kakitangan yang bertugas di pusat khidmat ADUN berkenaan dipecat dengan diberikan notis sebulan sehingga 18 Februari ini iaitu tiga hari selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Minggu lalu, Yee Cheu juga dinafikan peruntukan tahunan sebanyak RM200,000 yang sepatutnya digunakan untuk menjalankan kerja-kerja membantu penduduk di kawasan yang diwakilinya.

Awal tahun ini juga, beliau turut dinafikan daripada menguruskan bantuan banjir sebanyak RM700 kepada mangsa banjir di kawasannya yang terjejas dengan bencana besar pada awal Oktober dan November lalu.

Mengulas mengenai sekatan peruntukan kepada Yee Cheu itu, Norlela berkata, kerajaan negeri sepatutnya mempertimbangkan hakikat Yee Cheu tidak mempunyai sumber lain untuk turun padang membantu rakyat di kawasannya. – Malaysiagazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.