Sirul Azhar Enggan Pulang Ke Malaysia

Kaula Lumpur – Bekas koperal Unit Tindakan Khas (UTK) Polis Sirul Azhar Umar yang kini berada dalam tahanan pihak berkuasa Australia dilaporkan enggan pulang ke Malaysia, lapor akhbar Sinar Harian.

 

Memetik laporan tersebut, peguam yang mewakilinya Hasnal Rezua Merican yang kini berada di Sydney, Australia berkata beliau telah berjumpa dengan anak guamnya untuk berbincang bagi mencari jalan membebaskan dirinya daripada pusat tahanan pihak berkuasa Australia.

 

“Sirul ada mengatakan dia tak mahu balik. Siapapun yang ada dalam kedudukan seperti dia, mesti tak mahu balik,” Hasnal dipetik sebagai berkata dalam laporan itu.

 

Dia turut berkata dalam pertemuan bersama Sirul tiada perbincangan berkaitan ekstradisi kerana “soal itu setakat ini belum berbangkit”.

 

Sirul berdepan hukuman mati kerana disabitkan bersalah membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu di Mukim Bukit Raja, Klang di Selangor antara jam 10 malam 19 Oktober 2006 hingga jam 1 pagi 20 Oktober 2006.

 

Mahkamah Persekutuan pada Januari 13 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan menjatuhkan hukuman dua anggota UTK Polis hukuman gantung terhadap pembunuhan Altantuya.

 

Sirul tidak hadir diri ke mahkamah menyebabkan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya dan dilaporkan berada di Australia semenjak Oktober lalu.

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudian mendapatkan kerjasama Polis Antarabangsa (INTERPOL) untuk menjejaki individu ini yang dilaporkan berada di Sydney untuk ditahan bagi tujuan diekstradisi.

 

Sistem perundangan Australia bagaimanapun tidak mengiktiraf hukuman mati malahan negara itu menentang sekeras-kerasnya hukuman tersebut.

 

Sirul ditahan di Brisbane pada 12 Januari dan ditahan selama beberapa hari di pusat tahanan imigresen di situ.

 

Hasnal dan Kamarul Hisham tiba di Sydney untuk bertemu dengan anak guam mereka pada Ahad lalu dan dijangka pulang ke Malaysia pada Khamis ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.