‘Rumahtangga’ Pembangkang Semakin Berantakan – Adun Dengkil

Petaling Jaya – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Shahrum Datuk Mohd Sharif berkata, ‘rumahtangga’ pakatan pembangkang dilihat semakin berantakan apabila seringkali tidak bersepenDAPat di dalam membuat keputusan.

 

Jelas beliau, jika sebelum ini DAP begitu lantang bersuara menolak cadangan PAS yang mahu melaksanakan Hudud kini giliran PAS pula bersuara menolak keinginan DAP untuk melaksanakan Pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

 

“Kita bukanlah nak masuk campur urusan rumahtangga pakatan pembangkang ini namun keinginan DAP ini dilihat bakal memberi impak yang buruk kepada rakyat. Rakyat akan susah apabila terpaksa membayar cukai yang lebih tinggi untuk menanggung kos pilihan raya.

 

“Cukai pintu naik, cukai tanah naik… Ahli Majlis yang tidak melaksanakan tanggungjawab yang baik pula tidak boleh diganti sebab terpaksa menunggu tempoh lima tahun untuk pilihanraya.

 

“Jika ada Ahli Majlis yang berhenti pula terpaksa diadakan pilihan raya lagi… Ini semua menyusahkan rakyat. Malaysia bukan sebuah Negara yang besar untuk diadakan pilihan raya PBT,” ujarnya kepada UMNO-Online.

 

Tambahnya, berkemungkinan di sebalik keinginan DAP ini sebenarnya tersirat maksud yang tersurat dan kerana itulah DAP bersungguh-sungguh mahu mengadakan pilihan raya ini.

 

“Kita tahu DAP adalah sebuah parti cauvinis dan kerana itulah parti itu tetap berdegil dan tidak peduli kesan daripada keinginan mereka itu malah demi mencapai apa yang mereka mahu, mereka sanggup menempelak rakan sekutu politik sendiri.

 

“Banyak kebaikan yang ada pada sistem lantikan ketika ini terutama ia menjamin wakil semua kaum bersama membincangkan kebaikan untuk rakyat. Malah sistem lantikan ini tidak membabitkan sebarang kos yang akan ditanggung rakyat,” katanya.

 

Oleh itu jelas beliau, cadangan DAP ini sebenarnya adalah tidak relevan dan harus dibantah oleh rakyat. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.