‘Raja Dadah’ Hong Kong Termasuk Warga Malaysia Dipaksa Bakar ‘Ice’ Depan Media

Jakarta – Digari dan dipakaikan topeng muka hitam, seorang lelaki Hong Kong yang dipercayai raja dadah bersama anggota kumpulannya dipaksa untuk membakar stok ‘ice’ atau dadah crystal methamphetamine bernilai AS$136 juta secara umum hari ini selepas ditangkap pihak berkuasa Indonesia.

 

Wong Chi-ping dan beberapa suspek lain didedahkan di hadapan media negara itu, sebelum membuang bungkusan dadah terlarang ke dalam api yang marak di relau insinerator di pinggir Jakarta.

 

“Dadah itu adalah sampah, sebab itu kami membakarnya,” kata ketua agensi dadah Anang Iskandar kepada wartawan. Sejumlah 862 kilogram dadah telah dibakar.

 

Lelaki yang ditahan itu didakwa sebagai ketua kumpulan yang dianggotai tiga lagi warga Hong Kong, seorang warga Malaysia dan empat warga Indonesia. Mereka telah ditangkap pada awal bulan ini selepas tiga tahun siasatan terhadap sindiket global tersebut.

 

Mereka semua berdepan hukuman mati jika didapati bersalah mengedar dadah. Di Indonesia, balasan bagi kesalahan tersebut adalah hukuman tembak.

 

Indonesia adalah antara negara yang menguatkuasakan undang-undang antidadah paling tegas di dunia dan semakin menggiatkan kempen itu di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo.

 

Awal bulan ini, enam pesalah termasuk lima warga asing telahpun berdepan dengan skuad penembak negara tersebut.

 

“Indonesia telah mengumumkan perang ke atas dadah. Kami mahu menyelamatkan generasi akan datang, anak cucu kami,” ujar Menteri Keselamatan Indonesia, Tedjo Edhy Purdijatno.

 

Dadah-dadah tersebut yang dibungkus rapi dalam paket kopi ditemui dalam keadaan 97 peratus asli. Sindiket tersebut sememangnya dikehendaki di tujuah buah negara termasuk China, Filipina, Malaysia dan Singapura.

 

Pihak berkuasa Indonesia telah memantau pergerakan Wong sejak tahun 2012. Dia ditangkap selepas bot nelayan membawa masuk dadah itu ke Jakarta untuk dijual. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.