PM Lancar Model Rumah Mangsa Banjir Esok

Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan mo­del rumah untuk mangsa banjir dalam lawatan beliau ke Manek Urai, Kuala Krai Khamis ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pembinaan rumah kekal menjadi tumpuan kerajaan ketika ini bagi membantu mangsa yang kehila­ngan kediaman dalam bencana tersebut di Kelantan bulan lalu.

 

Menurutnya, kira-kira 2,500 keluarga bakal menerima rumah tersebut dengan kerajaan negeri akan membantu menentukan lokasi yang sesuai bagi mangsa yang tidak mempunyai tanah sendiri.

 

‘‘Sebahagian mangsa tidak memiliki tanah sendiri, dengan ada yang tinggal di tepi-tepi sungai dan untuk itu, kerajaan negeri akan memberi kerjasama mengenal pasti tanah yang sesuai untuk mereka,’’ katanya.

 

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian pada sidang selepas menyampaikan taklimat kepada pihak media berhubung Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) di sini hari ini.

 

Sementara itu, Mustapa berkata, sebanyak 999 keluarga yang kehilangan rumah kini ditempatkan di khemah-khemah yang agak selesa manakala sebahagian kecil lagi masih berlindung di pusat pemindahan sementara.

 

Katanya, selain itu, ada yang tinggal di rumah sementara se­perti di Dabong, Kuala Krai dan sebab itu tumpuan kerajaan ketika ini menyegerakan pembinaan rumah kekal kepada mangsa terlibat.

 

‘‘Ini langkah sementara sebelum rumah kekal untuk mangsa siap. Makan minum mereka pun diuruskan menerusi bantuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

 

‘‘Mangsa terlibat juga berterima kasih dengan usaha kerajaan dan saya kira keseluruhannya keadaan terkawal dengan MKN dan pihak terlibat berjaya menangani situasi mangsa tidak mempunyai rumah dengan baik,’’ jelasnya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.