Penyakit Kencing Tikus Meningkat Di Kelantan

KOTA BHARU – Daerah Kota Bharu menjadi penyumbang tertinggi penularan penyakit kencing tikus di negeri ini berbanding jajahan lain, yang hanya mencatat satu hingga dua kes sahaja selepas banjir besar di Kelantan, Disember lalu.

 

Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata, sebanyak 187 kes dilaporkan menerima rawatan di hospital berkenaan sejak awal Januari sehingga semalam.

 

“Daripada  jumlah itu, majoritinya melibatkan kes di Kota Bharu dan selebihnya di daerah lain.

 

“Ia menunjukkan peningkatan mendadak selepas banjir lalu yang mencatatkan purata 12 kes sehari menerima rawatan di HRPZ II,” katanya kepada pemberita pada sidang media, semalam.

 

Menurutnya, kes dianggap serius berikutan wad di unit rawatan rapi (ICU) HRPZ II terpaksa ditambah kerana tidak mampu menampung pesakit yang ramai.

 

“Setakat ini kita terpaksa mendapatkan bantuan peralatan dari Kuala Lumpur dan membuka  sebuah lagi wad ICU untuk merawat pesakit kritikal akibat penularan wabak kencing tikus.

 

“Sebenarnya penyakit ini boleh dirawat tetapi jika pesakit datang dalam keadaan serius dan kita dapati banyak organ dalaman rosak akibat serangan wabak ini, ia boleh menyebabkan kematian,” katanya.

 

Beliau berkata, majoriti yang terkena wabak itu berusia lingkungan 30-an dan dipercayai terkena jangkitan ketika membersihkan kawasan sekitar rumah selepas banjir.

 

“Berkemungkinan ketika membersihkan kawasan rumah selepas air surut, mendedahkan orang ramai dengan air tercemar disebabkan tikus lalu di kawasan yang ditenggelami banjir.

 

“Jadi saya nasihatkan orang ramai, jika terdapat simptom awal seperti demam panas berlarutan, disusuli kekejangan dan letih berpanjangan, segera dapatkan rawatan di hospital untuk rawatan susulan,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.