Pemimpin PAS Berputar-Putar, Ahli Makin Terbelit

Kuala Lumpur – Kemunculan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) bukan sahaja dianggap memeningkan kalangan pimpinan utama PAS malah ianya juga cukup mengelirukan ahli parti itu sendiri.

 

Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari berkata perkara itu dapat dilihat daripada tindak-tanduk pimpinan PAS yang dilihat berputar-putar memberi kenyataan dan tidak berani untuk ‘menyentuh’ PASMA walaupun mereka sedar dan tahu kewujudan entiti itu telah menimbulkan masalah kepada parti berkenaan.

 

Malah tegas beliau lagi, tidak dapat dinafikan pucuk atasan PAS juga arif dan sudah semestinya mengambil maklum bahawa penggerak di kalangan entiti baru itu adalah majotinya kalangan ahli serta pimpinan PAS sendiri.

 

“Inilah hipokrit terbesar PAS…Sepatutnya mereka sudah lama boleh mengambil tindakan kalau bercakap dari aspek integriti dan disiplin jemaah dalam parti. Pimpinan PAS dan ahli PAS mungkin lebih arif dalam soal ini,” katanya.

 

Namun, tambah beliau, apa yang nampak hari ini mereka seolah-olah tidak berani untuk menyentuh PASMA apatah lagi untuk jentik kalangan mereka yang menjadi penggerak kepada NGO berkenaan.

 

“Dan ini semestinya menimbulkan kehairanan apakah status sebenar PASMA…Kalau pimpinan mereka sendiri pun pening dan berputar-putar anak buah tentunya keliru dan terbelit dalam keadaan sedemikian,” lapor UMNO-Online, hari ini.

 

Perang terbuka antara PAS dan PASMA yang sebelum ini suam-suam kuku hari ini dianggap menjadi medan terbuka setelah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mula bersuara ‘garang’ terhadap entiti baru berkenaan yang kemudiannya dibalas pula oleh Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi, selaku Presiden PASMA.

 

Dilaporkan Presiden PAS itu dengan berkias meminta semua pihak di dalam parti Islam itu agar jangan membocorkan dan merosakkan “bahtera” parti sekiranya mereka merasakannya bergerak perlahan dan mempunyai kekurangan.

 

Manakala reaksi Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) pula membidas dengan berkata pihak tidak bersetuju dengan prinsip Pakatan Rakyat yang sepatutnya keluar kerana muktamar PAS sebelum ini memutuskan bersama dengan Pakatan, kata Phahrolrazi.

 

Mengulas lebih lanjut Anuar seterusnya percaya terdapat tangan-tangan ghaib di belakang PASMA yang menyebabkan pimpinan PAS tidak berani untuk mengambil sebarang tindakan disiplin.

 

“Mereka boleh cakap apa sahaja…namun umum dapat melihat bagaimana ‘sejuknya’ pimpinan PAS untuk bertindak lebih jauh dalam soal berkenaan. Yang nampak hanya sekadar kenyataan yang penuh berlapik dan penuh dengan ‘tertib’,“katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.