PDRM Terima 2 Unit ‘BackScatter’ Bagi Perkasakan Kawalan Pemyeludupan Dadah Di Sempadan

Shah Alam – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima dua unit van pengimbas ‘BackScatter’ bernilai RM15 juta bulan depan sebagai peralatan teknologi sokongan bagi memperkasa kawalan sempadan daripada kegiatan penyeludupan dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, van yang dilengkapi peralatan berteknologi tinggi itu dibeli dari Amerika Syarikat dan berupaya mengimbas setiap kenderaan semasa melepasi sempadan negara ini.

“Selain sempadan darat, kita juga akan terus mempertingkat kawalan di semua lapangan terbang dan pelabuhan kerana situasi terkini, kita dapati dadah banyak dibawa masuk dari sempadan utara negara selain Pakistan dan Nigeria.

“Mempertingkat pemerkasaan dan kawalan merupakan antara hala tuju Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam membanteras bekalan dan permintaan dadah sepanjang tahun ini dan masa depan,” katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Noor Rashid berkata, PDRM juga akan memantau secara lebih serius perkhidmatan kurier di negara ini bagi mengesan penyalahgunaan khidmat tersebut oleh sindiket penyeludupan dadah untuk mengedar barangan terlarang berkenaan.

Sementara itu, Noor Rashid berkata, sepanjang tahun lepas, JSJN berjaya merampas 18.9 tan dadah pelbagai jenis bernilai RM238.54 juta merangkumi 2.2 juta pil khayal; 47,056 liter dadah cecair serta 72 pokok ganja dan ia adalah pencapaian terbaik jabatan itu sejak ditubuhkan.
Beliau berkata, ia turut merangkumi 15.5 tan daun ketum dan 45,430 liter cecair ketum dengan anggaran nilai RM1 juta.

“Rampasan daun ketum yang tinggi menunjukkan penyalahgunaanya berada pada tahap serius mungkin disebabkan hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta Racun 1952 tidak memadai.

“Oleh itu, PDRM kini berada pada peringkat akhir usaha mengkategorikan daun ketum dalam kategori dadah supaya pesalah boleh dihukum di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Noor Rashid berkata, dalam pelbagai operasi JSJN sepanjang 2014, sebanyak 174,427 individu berjaya ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah narkotik termasuk penahanan 24 ‘King Pin’ dan seorang ‘Queen Pin’ iaitu pengedar dadah berskala besar.

Daripada jumlah penahanan pengedar berskala besar tersebut, 12 daripadanya didalangi warga tempatan manakala 13 lagi warga asing, katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.