Guru Pakistan Diberi Latihan Senjata Api

Peshawar – Guru di barat laut Pakistan sedang diberikan latihan senjata api dan akan dibenarkan untuk membawa senjata api ke dalam bilik darjah.

 

Ini adalah usaha untuk mengukuhkan keselamatan berikutan pembunuhan beramai-ramai di sekolah pada bulan lepas, lapor AFP.

 

Kumpulan militan bersenjata telah membunuh 150 orang, 132 daripadanya kanak-kanak pada 16 Disember dalam serangan ke atas sebuah sekolah yang dikendalikan oleh tentera di Peshawar.

 

“Membawa senjata api untuk setiap guru adalah tidak wajib, tetapi mereka yang ingin membawa senjata api ke sekolah dengan rela akan diberi permit,” kata Atif Khan, Menteri Pendidikan wilayah untuk wilayah barat laut, Khyber Pakhtunkhwa.

 

Menteri Penerangan Wilayah, Mushtaq Ghani mengesahkan keputusan itu, sambil menambah bahawa pihak wilayah tidak dapat menyediakan pengawal polis yang secukupnya untuk semua institusi pendidikan kerajaan yang dikendalikan oleh mereka.

 

“Bilangan polis di wilayah itu tidak cukup untuk menjaga 35,000 sekolah, kolej dan universiti, itulah sebabnya kami membenarkan guru-guru untuk membawa senjata api,” kata Ghani kepada AFP.

 

Pihak berkuasa mula melatih guru dalam cara menggunakan senjata api minggu lepas dan kumpulan terbaru pelatih perempuan mula belajar pada hari Selasa.

 

“Ia adalah kursus dua hari. Kami melatih mereka tentang pengendalian senjata api dan juga prosedur menggunakannya,” kata Mohammad Latif, seorang pelatih di ibu pejabat polis di Peshawar.

 

Pakistan telah mengukuhkan kawalan keselamatan di sekolah-sekolah seluruh negara, dengan membina dinding sempadan tinggi dengan pagar dawai keluli dan meningkatkan bilangan polis.

 

Sekolah swasta telah diperintahkan untuk menggunakan pengawal keselamatan tambahan.

 

Malik Khalid Khan, Presiden Persatuan Sekolah Persendirian Guru, menentang langkah guru membawa senjata ke sekolah.

 

“Bagaimana boleh mengajar pelajar dalam sebuah kelas dengan memegang pistol di sebelah tangan dan pen di tangan lain?” luah Khan.

 

“Ia bukan tugas kami, tugas kami adalah untuk mengajar mereka. Seorang guru memegang pistol di dalam kelas akan mempunyai kesan negatif terhadap murid-muridnya,” kata Khan sambil menambah bahawa kerajaan perlu mengambil lebih ramai polis jika mereka kekurangan polis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.