Kakitangan SUK Pahang ‘Jual’ Pingat Ditahan

- Advertisement -

KUANTAN – Polis Pahang menahan dua kakitangan pejabat setiausaha kerajaan (SUK) Pahang kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti ‘menjual’ pingat dan darjah kebesaran negeri itu.

Suspek berusia 30 dan 36 tahun itu ditahan selepas pihak polis menerima laporan daripada seorang kakitangan pejabat SUK pada Oktober tahun lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pengadu membuat laporan polis selepas mendapati senarai penerima pingat dan darjah kebesaran Pahang mempunyai nama mencurigakan dan tidak ada dalam senarai induk bahagian istiadat dan pengurusan majlis rasmi pejabat SUK Pahang.

Katanya, kedua suspek itu ditahan pagi tadi di sekitar Kuantan.

“Suspek pertama berusia 36 bekerja sebagai pembantu operasi di pejabat SUK Pahang dan dipercayai memasukkan 26 nama individu dalam senarai penerima darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang.

“Manakala suspek kedua yang berusia 30 tahun dan bekerja sebagai pembantu tadbir secara kontrak di pejabat sama dipercayai memasukkan tiga nama dalam sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Ramli memaklumkan kedua suspek dipercayai menyalahgunakan kod pengenalan diri mereka bagi mengakses sistem berkenaan dan mengubahsuai senarai asal penerima pingat dan darjah kebesaran Pahang.

“Semua 29 individu berusia antara 40 hingga 60 tahun yang nama mereka berada dalam senarai itu juga sudah ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan terhadap kedua suspek dilakukan mengikut Seksyen 5(1) Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) dan mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan esok,” katanya lagi.

Beliau berkata, setiap individu berurusan dengan kedua suspek itu dipercayai dikenakan bayaran antara RM80,000 hingga RM150,000 bagi tujuan memasukkan nama mereka dalam senarai berkenaan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat