Rintihan Ibu Hilang Empat Anak Serentak Dalam Bencana Tsunami

KUALA LUMPUR – “Anakku yang 3 sudah dijumpai dan dikebumi jenazahnya, tinggal seorang lagi yang cewek berbaju hitam putih masih tidak dijumpa, tolong aku Pak carikan dia,” rayu Mariam, 43, seorang ibu yang kehilangan empat anak dalam tragedi tsunami di Tanjung Lesung, Sabtu lalu.

Dalam nada sebak, dia meminta bantuan sukarelawan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mencari seorang lagi anaknya di kawasan villa yang ranap akibat bencana itu dan dia masih mengharapkannya selamat biarpun harapan tipis.

Mariam turut mendapatkan bantuan Setiausaha Agung MAPIM, Zul Hanis Zainol yang tiba di lokasi itu bersama badan bukan kerajaan (NGO), Aksi Cepat Tanggap, kelmarin, kerana sudah buntu mencari di sekitar lokasi terbabit sejak beberapa hari lalu.

Zul Hanis berkata, simpati dengan keadaan itu, pasukannya seramai 30 anggota mengaktifkan gerakan mencari dan menyelamat namun tidak dapat berbuat apa-apa selepas pihak berkuasa mengarahkan operasi dihentikan selepas mendapat amaran air pasang yang boleh mencetuskan tsunami.

“Semalam, 3 anaknya ditemui dan sudah dikebumikan. Hari ini kami teruskan mencari di kawasan villa tetapi hujan lebat, angin kuat dan ombak tinggi jauh kelihatan dan akhirnya operasi mencari mangsa korban terpaksa dihentikan serta-merta.

“Kami memohon maaf kepada ibu terbabit dan semua orang yang berada berhampiran kawasan itu diarah meninggalkan tempat pencarian. Ia adalah satu situasi yang begitu menyedihkan kerana kami sudah cuba sedaya upaya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah International Relief And Humanitarian Outreach (I-Reach), Johan Ariff Ismail berkata, pasukannya bersama NGO tempatan ke Desa Taman Jaya yang juga lokasi paling hujung di Jawa dan di situ terdapat sebuah pulau yang lenyap akibat tsunami dengan tujuh nelayan masih hilang.

Katanya, usaha mencari masih diteruskan namun hujan lebat serta letusan susulan Gunung Anak Krakatau menyukarkan operasi kerana pihak berkuasa tidak mahu mengambil risiko kerana ia agak berbahaya terutama keadaan yang tidak menentu.

“I-Reach membantu mengedarkan keperluan segera iaitu makanan yang siap untuk dimakan dan kit kebersihan mangsa.

“Saya juga melakukan kerja-kerja dokumentasi dan penilaian keperluan di lapangan. Keadaan jalan yang tidak berturap menuju ke beberapa lokasi dan paras air laut pasang meningkat menyebabkan banjir di sesetengah kawasan,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.