MP Lompat Parti Bukan Pengkhianat Tapi Galas Tanggungjawab

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen (MP) yang lompat parti khususnya dari parti UMNO tidak boleh dirumuskan dan digelar sebagai pengkhianat kerana MP tersebut sedang menggalas amanah yang telah diberikan oleh rakyat untuk melakukan kerja terbaik.

Memetik laporan Berita Harian, wakil zon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak, Affendi Jeman, berkata Ahli Parlimen termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan sudah memenangi pilihan raya atas tiket pengundian, sekali gus mewakili aspirasi rakyat dalam amalan demokrasi.

“Menyifatkan Ahli Parlimen dan ADUN khususnya daripada UMNO memohon masuk BERSATU sebagai tindakan pengkhianat adalah rumusan tidak tepat. Rakyat sudah memenangkan calon pilihan mereka dan adalah menjadi tanggungjawab calon dipilih mencari jalan terbaik berkhidmat semula kepada rakyat diwakili.

“Pastinya wakil rakyat mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan yang mengamalkan dasar bersih. Mereka tidak patut dihalang sekiranya tidak mempunyai salah laku,” katanya.

Lompat parti beramai-ramai yang sedang berlaku kini katanya perlu dilihat dari sudut yang berbeza di mana dapat memperkukuhkan pentadbiran kerajaan menerusi sokongan politik untuk melaksanakan dasar seperti termaktub dalam manifesto PH.

“BERSATU dan PH perlu menerima wakil rakyat bersih kerana ia mencerminkan kehendak mereka untuk bersama dengan pentadbiran yang benar-benar membela rakyat, selain mengamalkan ketelusan. Amalan sebegini bukan asing dalam proses demokrasi,” katanya.

Affendi, ketika mengulas lanjut, turut mendakwa ada puluhan ribu ahli jawatan kuasa penaja UMNO Sarawak sudah menyatakan hasrat memasuki BERSATU Sarawak, selepas mengambil kira kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam Kerajaan Pusat dan parti.

“Kehadiran BERSATU Sarawak adalah lambang keprihatinan tertinggi parti selepas bersetuju melebarkan sayap ke negeri ini atas desakan rakyat Sarawak sendiri,” katanya. – Suara.TV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.