Isu Ahli Parlimen UMNO Lompat Parti, Syed Saddiq ‘Ugut’ Keluar PPBM

KUALA LUMPUR – Imej Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM / Bersatu) sedikit tercalar baru-baru ini apabila parti itu ‘berdikit-dikit’ menerima masuk beberapa ahli Parlimen UMNO.

Bukan sahaja dalam kalangan rakyat, malah sekutu parti itu dalam Pakatan Harapan (PH) juga jelas menunjukkan rasa tidak senang dengan perkembangan tersebut.

Terbaharu, ketua sayap pemudanya, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula mengugut akan keluar parti itu jika ada ‘pencuri’ yang diterima masuk.

“Jika ada pencuri dan perompak sertai Bersatu, saya sendiri akan keluar parti,” katanya seperti dipetik portal Malaysiakini di sini hari ini.

Melihat situasi ini, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berpendapat, mengembalikan kepercayaan ahli dan sekutu wajar menjadi fokus Bersatu ketika Perhimpunan Agung Tahunan Ke-2 parti itu yang bermula esok.

Beliau berkata, Bersatu perlu meyakinkan ahli dan sekutunya bahawa golongan ‘pelarian politik’ tidak akan mendapat tempat dalam kepemimpinan parti itu supaya agenda pembaharuan yang dibawa dapat terus berjalan dengan lancar.

“Bukanlah menyingkirkan tetapi kepemimpinan Bersatu perlu beri gambaran kepada ahli bahawa jawatan mereka (yang melompat dari UMNO) ini akan diambil alih oleh ahli Bersatu yang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dahulu.

“Maksudnya di peringkat bahagian, perlu dipastikan jawatan-jawatan terus dikuasai ahli Bersatu yang lama dan kepemimpinan mesti berikan petunjuk mereka yang melompat itu tidak akan menjadi calon pada PRU yang akan datang,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Tambah Awang Azman lagi, parti itu juga perlu menetapkan hala tujunya sebagai parti yang mewakili orang Melayu dan Islam dalam kerajaan.

“Bagaimana (Bersatu) mahu membawa agenda Melayu dan Islam ini ke jalan yang betul sesuai dengan hala tuju PH, sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan serta hala tuju pembangunan negara,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.