Anggota JPJ Berdepan Detik Cemas Kejar Pesalah Trafik

Dua anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu berdepan detik mencemaskan apabila terlibat dalam aksi mengejar pesalah trafik dalam Op Khas sempena Op Patuh 2 di Setiu semalam.

Pesalah trafik berkenaan yang menaiki Proton Waja pada mulanya dikatakan cuba melarikan kenderaan mereka dengan membuat pusingan U setelah melihat anggota JPJ menahan sebuah lori di Jalan Setiu-Besut bagi pemeriksaan cukai jalan.

Anggota JPJ yang melihat kenderaan itu agak mencurigakan seterusnya mengejar kenderaan terbabit yang menuju ke arah Kuala Terengganu selama 15 hingga 20 minit hingga ke sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Bukit Guntong.

Kedua-dua pesalah trafik berkenaan kemudian meloloskan diri ke dalam ladang kelapa sawit berkenaan selepas meninggalkan kenderaan yang dinaiki mereka.

Pengarah JPJ Terengganu, Abdul Rahman Emang Anyie ketika ditemui pemberita selepas itu berkata setelah disiasat, kenderaan itu didapati mengalami sedikit pengubahsuaian yang tidak dibenarkan oleh JPJ selain menggunakan cukai jalan palsu.

“Kenderaan berkenaan telah dibawa ke ibu pejabat JPJ Terengganu untuk siasatan lanjut,” katanya dan menambah Op Patuh 2 yang bermula sejak 24 November lepas hingga 31 Disember ini diadakan sempena cuti sekolah, cuti Krismas dan cuti tahun baharu.

Katanya operasi yang dilaksanakan bermula pukul 8 pagi hingga 1 tengah hari tadi mencatatkan sebanyak 78 notis dikeluarkan antaranya kesalahan berkaitan lesen memandu, cukai jalan, nombor pendaftaran, muatan bahaya dan larangan penggunaan kenderaan.

Sementara itu, katanya, sebanyak 30,060 pelbagai saman trafik telah dikeluarkan oleh JPJ Terengganu sehingga November ini, meningkat sebanyak 257 saman berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Kesalahan lalu lintas seperti memotong garisan berkembar, memotong di sebelah kiri dan melanggar lampu isyarat menjadi penyumbang utama kepada pengeluaran saman iaitu 20,299 saman dan 11,093 notis dikeluarkan dalam tempoh yang sama.

“Kesalahan tidak memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans yang sah mencatatkan penurunan saman sebanyak 1,126 saman (18 peratus) iaitu sebanyak 4,960 pada tahun ini berbanding tahun 2016 iaitu 6,086 saman yang telah dikeluarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata JPJ Terengganu akan mula membuka tender nombor pendaftaran TBX1 hingga TBX9999 pada 8 hingga 22 Januari 2018.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.