Pesawat Terhempas Selepas Kehabisan Minyak – Siasatan

BOGOTA – Nahas pesawat yang mengorbankan 71 orang di Colombia bulan lalu, termasuk berpuluh-puluh pemain pasukan bola sepak Chapecoense Brazil, berpunca daripada kesilapan manusia, menurut satu siasatan.

 

Pegawai Colombia berkata, tidak ada kegagalan teknikal dikesan sekali gus kesalahan diletakkan ke atas juruterbang, syarikat penerbangan dan pengawal selia Bolivia.

 

Rakaman turut menunjukkan pesawat itu kehabisan bahan api.

 

Pesawat yang dikendalikan oleh syarikat Lamia di Bolivia, terhempas di gunung berhampiran Medellin. Hanya enam orang terselamat. Laporan awal siasatan Colombia mendapati juruterbang gagal untuk mengisi minyak dalam perjalanan dan terlambat melaporkan kegagalan enjin akibat kehabisan bahan api.

 

Setiausaha Keselamatan Udara Colombia, Kolonel Freddy Bonilla, berkata pihak berkuasa penerbangan di Bolivia dan syarikat penerbangan menerima syarat-syarat yang dibentangkan dalam pelan penerbangan sebagai “tidak boleh diterima”.

 

Susulan tragedi itu, Ketua Eksekutif Lamia, Gustavo Vargas Gamboa, dan anaknya, bekas pegawai dengan pihak berkuasa penerbangan Bolivia, Gustavo Vargas Villegas, ditahan sementara menanti perbicaraan. Mereka menafikan sebarang salah laku.

 

Juruterbang, Miguel Quiroga, yang juga pemilik bersama syarikat penerbangan itu, maut dalam kemalangan itu.

 

Dalam sebuah rakaman yang tersebar, beliau didengar memberi amaran mengenai “kegagalan elektrik” dan “kekurangan bahan api”.

 

Pesawat itu dalam perjalanan membawa pasukan Chapecoense ke perlawanan terbesar dalam sejarah mereka, perlawanan akhir Copa Sudamericana. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.