Rakyat Sarawak Yang Waras Tidak Akan Undi PAS, Kata Pemimpin DAP

Menyifatkan PAS kini sebagai sekutu Umno, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen hari ini berkata, parti Islam itu tidak akan memperoleh sebarang sokongan daripada rakyat negeri itu pada pilihan raya akan datang.

 

“Kini, tiada keraguan lagi, PAS adalah sekutu kepada Umno. Tiada rakyat Sarawak yang waras akan menyokong Umno atau PAS,” katanya kepada The Malaysian Insider.

 

“Mereka bebas untuk bertanding. Biar pengundi membuat keputusan. Tetapi saya tidak fikir mereka boleh meraih apa-apa sokongan,” kata Chong mengulas hasrat parti Islam itu meletakkan calon di kerusi yang ditandingi DAP.

 

Pesuruhjaya PAS Sarawak Jofri Jaraiee berkata, parti itu akan bertanding sekurang-kurangnya 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya negeri itu tahun depan, termasuk yang mengikut tradisinya ditandingi DAP.

 

Beliau dilaporkan berkata, menjadi prerogatif PAS Sarawak untuk bertanding di kerusi DAP kerana ia bukan sebahagian daripada gabungan baharu parti pembangkang, Pakatan Harapan.

 

Walaupun putus hubungan dengan DAP, PAS mengekalkan kerjasama dengan PKR.

 

PAS Sarawak berkata, ia sedia untuk berunding dengan PKR selari dengan keputusan jawatankuasa pusat parti itu mengekalkan kerjasama politik dengan PKR.

 

11 kerusi DUN di mana PAS bercadang untuk bertanding ialah Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang, Samariang, Jepak, Samalaju, Lambir, Senadin, Batu Kawa dan Dudong.

 

Parti itu pertama kali memasuki Sarawak pada 1996 dan mula menyertai pilihan raya negeri sejak 2001.

 

Setakat ini, ia belum berjaya memenangi sebarang kerusi di peringkat Parlimen atau negeri.

 

Sementara itu, Chong berkata, DAP negeri mengenal pasti 35 calon untuk bertanding di 15 kerusi di kawasan bandar dan 20 kerusi luar bandar pada pilihan raya negeri akan datang.

 

Katanya, majoriti calon parti itu adalah muka baru, tetapi enggan mendedahkan identiti mereka kerana ia masih meneruskan rundingan dengan PKR. – M.Insider

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.