Kesedihan Mengiringi Ulang Tahun Tsunami Ke-11

JAKARTA – Penduduk Aceh dan selatan Thailand sejak semalam mengadakan beberapa acara termasuk majlis keagamaan bagi memperingati ulang tahun ke-11 bencana tsunami yang menyaksikan lebih 200,000 orang terkorban.

 

Di Aceh, penduduknya berkumpul dipusat bandar bagi mengadakan beberapa upacara agama bagi memperingati 165,000 orang yang terbunuh dalam bencana alam tersebut di wilayah berkenaan.

 

Gabenor Aceh, Zaini Abdullah mengetuai pegawai-pegawai kerajaan memulakan majlis peringatan dengan melawat kubur-kubur mangsa tsunami sebelum menghadiri majlis tahlil di masjid di pusat bandar wilayah tersebut.

 

Selain itu, nelayan-nelayan turut mengambil keputusan untuk tidak menangkap ikan selama dua hari bermula semalam sebagai tanda penghormatan kepada mangsa-mangsa bencana.

 

“Nelayan dinasihatkan untuk tidak menangkap ikan selama dua hari bagi memperingati bencana tsunami,” kata ketua komuniti Miftah, Cut Adek seperti dipetik Detik.com.

 

Dalam perkembangan sama, majlis peringatan di selatan Thailand diadakan di Batu Peringatan Kamala, Dinding Memorial Mai Khao, Dewan Bandar Phuket dan pantai Patong di selatan pulau Phuket.

 

Lebih 5,300 penduduk di beberapa buah kawasan sepanjang pantai barat Thailand terkorban dalam tragedi yang berlaku pada 2004 tersebut.

 

Selain itu, majlis peringatan berbentuk keagamaan turut diadakan di bandar-bandar percutian di sepanjang pantai Laut Andaman iaitu dari wilayah Phang Nga ke Phi Phi.

 

Kejadian tsunami pada 26 Disember 2004 berlaku selepas gempa bumi sekuat 9.1 pada skala Richter berhampiran kawasan perairan Sumatera, Indonesia dan mengakibatkan 230,000 orang terbunuh. – DPA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.