Jumpa PTPTN Sebelum 18 Januari Elak Gaji Terus Dipotong

KUALA LUMPUR — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meminta para peminjamnya supaya tampil berunding mengenai isu pelaksanaan pemotongan gaji mandatori bagi pembayaran balik pinjaman tersebut.

 

Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, peminjam perlu tampil selewat-lewatnya 18 Jan depan untuk berunding, atau jika mereka gagal melakukan demikian, jumlah ansuran potongan gaji mandatori akan dikenakan.

 

“Saya ingin mengulangi kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh PTPTN pada 17 Dis lalu bahawa PTPTN telah pun mengumumkan akan mengembalikan semula amaun potongan setelah ditolak ansuran bulanan berdasarkan jadual bayaran balik semasa kepada 3,193 peminjam.

 

“Sekiranya peminjam yang terlibat gagal berunding dalam tempoh masa yang ditetapkan, jumlah ansuran potongan gaji mandatori yang dinyatakan di dalam surat tersebut akan dikenakan semula kepada peminjam,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

 

Shamsul berkata, langkah pelaksanaan potongan gaji mandatori itu juga adalah antara langkah terakhir apabila peminjam didapati gagal untuk melakukan pembayaran balik menerusi pelbagai kaedah lain.

 

“Bebanan kewangan PTPTN kini begitu tinggi kerana PTPTN mempunyai komitmen sebanyak RM54.6 bilion kepada lebih 2.5 juta pelajar termasuk sebahagiannya anak-anak kakitangan awam dan kakitangan awam sendiri,” katanya.

 

Beliau berkata PTPTN menghadapi masalah apabila lebih 611,956 peminjam tidak pernah membuat bayaran pinjaman di mana sejumlah RM5 bilion tidak dibayar walau sesen pun.

 

“Saya berkeyakinan masalah peminjam akan diselesaikan jika datang bertemu PTPTN. Ini kerana pelbagai kaedah boleh dilakukan dan satu daripadanya, peminjam yang terlibat boleh membuat penstrukturan semula hutang dengan amaun ansuran berasaskan kemampuan bagi tempoh tidak melebihi umur 60 tahun, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.

 

Bagi mendapatkan semua pertimbangan jumlah ansuran bayaran balik, peminjam juga diminta membawa bersama slip gaji bagi memudahkan proses rundingan, katanya. — Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.