WHAM Lancar Kempen Kemanusiaan Bersama Artis Tanahair

Kuala Lumpur – Prihatin dengan bencana banjir yang kini melanda di beberapa negeri di Pantai Timur sejak beberapa hari lalu, Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama beberapa artis tanahair telah melancarkan kempen kemanusian – Tabung Sentuhan Hati ke Hati bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir di negeri tersebut.

Menurut Presiden WHAM, Tengku Khalidah Tengku Bidin, persatuan kini sedang dalam usaha mengumpulkan dana kewangan dan barangan keperluan harian seperti makanan dan pakaian.

“Kami gerakkan kempen ini sebagai satu usaha daripada wartawan juga penulis hiburan bekerjasama dengan golongan artis mengumpul sumbangan daripada orang ramai. Seperti yang kita sedia maklum, golongan artis mempunyai peminat tersendiri dan mereka boleh mengajak peminat mereka menyokong usaha ini.

“WHAM mendapat banyak respon positif daripada ramai artis tempatan yang turut sama prihatin dan ingin menghulurkan bantuan. Antara artis yang bersama menggerakkan kempen ini seperti Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Azza Elite, Zul Yahya, Siti Fazurina, Zizan Nin dan Johan Raja lawak serta produser, Datin Zaiton Mohammad Jiwa.

“Kumpulan Wings yang akan mengadakan konsert di Pulau Pinang esok juga menerusi pihak mereka menghubungi WHAM dan memaklumkan, sebahagian daripada jualan tiket konsert mereka itu akan disalurkan ke Tabung Sentuhan Hati ke Hati,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest, hari ini.

Menurutnya, barangan dan sumbangan yang dikumpulkan akan diagihkan ke beberapa lokasi di Pantai Timur bermula 28 Disember ini.

“Tidak semestinya jika kita ingin membantu perlu pergi ke tempat berkenaan. Lagipun, jika kami dan artis mahu turun sendiri ke sana ia amat sukar apatah lagi kami tidak mempunyai kapasiti dan tidak tahu cara masuk ke kawasan tersebut memandangkan keadaan kini difahamkan semakin teruk.

“Justeru, semua sumbangan akan diberikan menerusi agihan sukarelawan yang bertugas di lokasi kejadian. Kami juga menghubungi pihak bertanggungjawab dan memaklumkan tentang misi kempen ini dan diharapkan usaha ini sekurang-kurangnya meringankan beban mangsa banjir yang terlibat,” katanya.

Sementara itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghantar sumbangan ke tingkat 4, Busana Mall, manakala sumbangan kewangan boleh dibuat melalui akaun persatuan WHAM 21416500020170 (RHB Bank).

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 012-2518801 (Tengku Khalidah) dan 018-7785456 (Azza) dan 012-2473105 (Kelly). – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.