PM Najib Tiba Di Kelantan Pukul 1.40 Untuk Tinjau Sendiri Keadaan Banjir

Kota Bahru – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kelantan pukul 1.40 tadi bagi meninjau sendiri keadaan banjir di negeri ber­kenaan.

Sejurus tiba, Perdana Menteri diberikan taklimat mengenai bencana banjir daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jawatankuasa Bantuan dan Pengurusan Bencana Kebangsaan, kerajaan nege­ri dan pasukan bertindak tempatan.

Sebaik sahaja selesai mempengerusika mesyuarat tersebut Perdana Menteri dijadualkan untuk bertemu dengan mangsa-mangsa banjir di negeri berkenaan selain mendapatkan maklumat keadaan banjir dan mangsanya di negeri-negeri lain.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam memberitahu, Najib akan turut mengadakan perbincangan untuk mencari pendekatan baharu bagi membantu mereka yang dipindahkan ke penempatan sementara.

Najib yang dipetik dalam kenya­taan sama berkata, beliau cukup mengambil berat mengenai banjir yang berlaku itu dan amat bersimpati dengan mereka yang kehilangan tempat tinggal dan orang tersayang.

“Semasa di luar negara, saya sering berhubung dengan MKN dan Jawatankuasa Bantuan dan Pengurusan Bencana Kebangsaan dan mereka memberi jaminan kepada saya untuk melakukan segala-galanya dalam usaha membantu mangsa banjir.

‘‘Walau apa pun saya tetap mahu melihat sendiri keadaan banjir yang berlaku dan saya juga mahu bersama mereka yang terlibat,’’ katanya.

Sementara itu, jurucakap kerajaan dalam kenyataan tersebut juga berkata, semasa berada di luar negara, Perdana Menteri menerima perkembangan terkini setiap hari dan sentiasa berhubung dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengarahkan Jawatankuasa Bantuan dan Pengurusan Bencana Kebangsaan mengambil langkah segera membantu mangsa banjir.

“Berikutan laporan terkini situasi banjir yang semakin buruk, Perdana Menteri mengambil keputusan untuk pulang ke Malaysia bagi melihat sendiri situasi banjir dan membantu mangsa-mangsa yang terlibat,’’ katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.