Mayat Suhaimi Ditemui Tersangkut Di Akar Pokok

Kemaman – Mayat Suhaimi Awang, 37, suami kepada Allahyarhamah Nur Hayati Sulong, dijumpai anggota bomba, pada jam 12.20 tengah hari tadi.

Mayat Suhaimi ditemui tersangkut di akar pokok di Sungai Kemaman, kira-kira 700 meter dari lokasi mayat isterinya ditemui, semalam.

Penolong Penguasa Bomba Kemaman, Mohd Kamal Mohd Timar berkata, pasukan bomba menambah 60 anggota pada awal pagi tadi, untuk meneruskan usaha mencari Suhaimi di kawasan tidak jauh dari tempat Nur Hayati ditemui.

Nur Hayati dan Suhaimi hilang dihanyutkan arus deras, selepas bot penyelamat yang mereka naiki untuk ke pusat pemindahan, pada Rabu lalu, terbalik.

Mayat guru berusia 37 tahun itu ditemui di tebing Sungai Kemaman, pada jam 4 petang Jumaat, kira-kira 150 meter dari lokasi mereka terjatuh daripada bot berkenaan.

Allahyarhamah Nur Hayati telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jabor, malam tadi dan dimaklumkan Allahyarham Suhaimi juga akan dikebumikan di tanah perkuburan sama, selepas solat asar.

Pasangan itu meninggalkan enam anak.

Dalam kejadian jam 1.20 petang Rabu lalu, kedua-dua mangsa hilang, selepas bot penyelamat yang mereka naiki, terbalik ketika operasi pemindahan mangsa banjir dijalankan di Kampung Geliga Che Akob.

Ketika kejadian, pasangan itu bersama tiga mangsa lain serta seorang anggota bomba dan dua anggota polis menaiki bot berkenaan, sebelum ia terbalik, dipercayai terperangkap dalam pusaran air.

Semua penumpang yang memakai jaket keselamatan terhumban ke dalam air, tetapi Nur Hayati bersama Suhaimi hanyut dibawa arus deras. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.