Kita Jangkakan Episod Hujan Bermula 28 Sehingga 30 Disember – Che Gayah

Kuala Lumpur – Hujan peringkat kuning dijangka terus melanda beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada Ahad hingga 30 Disember ini.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Che Gayah Ismail, nasihat peringkat kuning telah dikeluarkan pada 24 Disember lalu mengenai ramalan cuaca itu.

“Kami sudah keluarkan nasihat peringkat kuning pada 24 Disember lalu. Kalau di Sarawak, kita jangkakan episod hujan bermula 28 hingga 29 Disember, melibatkan Kuching, Samarahan, Sri Aman, Mukah, Sibu dan Betong.

“Bagi Semenanjung dan Sabah pula, Perak Utara, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah melibatkan Kudat dan Sandakan dijangka berdepan episod hujan bermula 28 sehingga 30 Disember,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post, hari ini.

Beliau turut menjangkakan hujan akan berterusan selama 24 hingga 48 jam, pada tarikh-tarikh berkenaan di kawasan terbabit.

JMM menerusi laman sesawang rasminya memaklumkan, hujan sekejap-sekejap dan kadang kala sederhana lebat diramalkan berlaku di Terengganu (Daerah Dungun dan Kemaman), Pahang (Daerah Kuantan, Lipis, Raub, Pekan, Jerantut, Maran dan Rompin) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Kulaijaya dan Johor Bahru) yang dijangka berterusan sehingga esok.

Amaran itu adalah amaran hujan lebat peringkat jingga, manakala nasihat hujan lebat peringkat kuning pula dikeluarkan bagi negeri-negeri terbabit dengan hujan monsun beserta angin kencang.

Negeri terlibat adalah Perlis, Kedah, Perak (di bahagian utara), Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sabah (Kudat dan Sandakan) dan Sarawak (Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah dan Betong) dari 29 sehingga 31 Disember ini. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.