Kelantan Tidak Akan Isytihar Darurat – Mohd Amar

Kota Bharu – Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan pendirian kerajaan negeri tidak akan mengisytiharkan darurat, buat masa ini.

Setakat pagi tadi, lebih 32,000 mangsa ditempatkan di 163 pusat pemindahan di sembilan daerah Kelantan, sejak gelombang kedua bencana itu melanda negeri itu, 16 Disember lalu.

Ketika dihubungi The Rakyat Post, Mohd Amar menjelaskan, kerajaan negeri bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan pusat untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di negeri itu.

“Jika kita nak isytihar ‘darurat bencana’ hanya kerana keadaan di beberapa daerah teruk, apa yang boleh kita lakukan?

“Bantuan tetap tidak boleh sampai ke kawasan terbabit, disebabkan arus deras dan cuaca yang memberi risiko kepada kerja menyelamat oleh agensi terbabit,” katanya merujuk situasi di Manik Urai dan Kuala Krai yang teruk terjejas, akibat banjir sejak tiga hari lalu.

Jelasnya, kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan dari semasa ke semasa serta mendapat laporan daripada pihak bomba dan polis.

“Setakat ini, keadaan masih terkawal di semua daerah dan bantuan makanan dan pakaian berterusan dihantar ke semua pusat pemindahan dari seluruh negara,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan di laman sosial.

“Jika ada cerita mangsa terperangkap, ini kerana bantuan lambat tiba, apabila banjir semakin buruk dan ada sebahagian penduduk yang tidak mahu berpindah lebih awal, sebagaimana diarahkan anggota penyelamat,” katanya.

Sehubungan itu, mangsa banjir digesa memberi kerjasama kepada anggota penyelamat dan mengikut arahan pihak berkuasa.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendesak Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar mengisytiharkan darurat di kawasan yang terjejas teruk, akibat banjir yang melanda Kelantan, terutamanya di kawasan Hulu Kelantan.

Setiausaha Keselamatan Negeri MKN Kelantan, Azhar Mohd Yusuf ketika dihubungi The Rakyat Post memaklumkan, tiada pengisytiharan darurat dibuat di Kelantan setakat ini, walaupun keadaan banjir yang semakin buruk. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.