Imam Ugut Petunjuk Perasaan Berhimpun Di Luar Masjid Diburu

Islamabad – Waran tangkap dikeluarkan terhadap seorang imam, kerana didakwa mengugut penunjuk perasaan yang berhimpun di luar Masjid Lal di Islamabad, bagi membantah pembunuhan 148 pelajar dan guru sebuah sekolah tentera di Peshawar, pada 16 Disember lalu.

Ia susulan laporan polis yang dibuat aktivis sosial terhadap Imam Abdul Aziz, yang mendakwa pekerja masjid itu mengugut penunjuk perasaan, ketika mengadakan bantahan berhubung keengganan imam itu mengecam tragedi yang berlaku pada minggu lalu.

Polis turut menyiasat kumpulan penunjuk perasaan itu, kerana mengadakan perhimpunan haram.

Abdul Aziz menegaskan, tuduhan terhadapnya adalah kecil dan pihak berkuasa sepatutnya menumpukan perhatian untuk menangkap individu yang melakukan jenayah lebih berat dan serius.

“Kes saya amat kecil, malah seorang sub-inspektor boleh memberi ikat jamin kepada saya,” katanya.

Minggu lalu, kumpulan Taliban menyerang sebuah sekolah awam kendalian tentera di Peshawar, menyebabkan 152 orang, termasuk 133 pelajar terkorban.

Taliban mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan ke atas sekolah awam tentera di Peshawar, sebagai membalas operasi ketenteraan yang dijalankan di Khyber dan Waziristan Utara.

Susulan itu, tentera Pakistan telah membunuh Saddam Jan, pada Khamis lalu, dalam satu kejadian tembak-menembak dengan pasukan tentera di Khyber, sebuah kawasan puak terpencil berhampiran sempadan Afghanistan.

Ketua Pentadbiran di wilayah itu, Shahab Ali Shah berkata, Saddam adalah komander operasi Tehrik-e-Taliban Pakistan yang mendalangi beberapa serangan di negara itu.

Enam lagi anggota Taliban turut cedera dan ditahan dalam pertempuran selama dua jam itu. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.