Firefly Bantu Mangsa Banjir Kelantan Dan Terengganu

Kuala Lumpur – Syarikat Penerbangan Firefly mengambil inisiatif untuk membantu mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

Ketua Pegawai Eksskutifnya, Ignatius Ong, inisitiatif tersebut diambil bagi meringankan beban mangsa yang memerlukan bantuan melalui penerbangan ihsan tersebut.

Malah menurut beliau, setiap penerbangan dari dua lapangan terbang tersebut akan digunakan untuk membantu mangsa.

“Kami mengajak semua orang, termasuk badan-badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) mahupun pihak swasta untuk berhubung dengan Firefly bagi menggunakan perkhidmatan yang kami sediakan.

“Dengan peningkatan jumlah mangsa banjir jejak lebih 100,000 dan masih meningkat, adalah penting bagi kita untuk mengenepikan segala perbezaan dan turut sama-sama membantu mereka yang memerlukan.

“Tugas Firefly adalah berkhidmat kepada negara dan kita berhasrat untuk memudahkan proses dengan lebih efisien dan selesa,” kata beliau.

Firefly turut menyediakan tiga pusat pengumpulan yang bertujuan untuk menerima sebarang bantuan dalam bentuk barangan seperti selimut, kain, lampin pakai buang, susu, biskut, kopi dan juga makanan ringan.

Tiga pusat tersebut bertempat di;

1. Firefly Biz Lounge, Tingkat Satu, Skypark Subang Terminal, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, 47200 Subang, Selangor. Tel: 03-7846 3684

2. Pusat Tiket Firefly Lapangan Terbang Kota Bharu, Sultan Ismail Petra Airport, 16100 Kota Bharu, Kelantan.

3. Pusat Tiket Firefly Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Pualu Pinang, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Firefly juga bekerjasama dengan Pasukan Bantuan dan Penyelamat IMAM (IMARET) yang merupakan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) untuk menaja penerbangan untuk sukarelawan perubatan dan ruangan kargo bagi tujuan kecemasan dan juga bekalan perubatan.

“IMARET bersyukur dengan maklum balas Firefly yang sudi bekerjasama dengan kami. Hari ini, kita telah menghantar tiga pegawai perubatan – dua ke Kota Bharu dan seorang ke Kuala Terengganu bersama dengan 200 kilogram keperluan ubatan dan juga kecemasan.

“Kami bergantung penuh kepada Firefly untuk menyampaikan bantuan dan bekalan yang diterima banyak untuk disalurkan kepada mangsa banjir dapat diberikan sesuai pada masanya,” kata Presiden IMAM, Profesor Datuk Abdul Rahim Mohamad.

“Jika ada yang berminat untuk membantu, atau ada di antara anda yang terlibat dengan banjir, sila hubungi kami di talian 03-89263034. Sukarelawan yang mempunyai pengalaman perubatan dan juga misi bantuan adalah dialu-alukan,” tambah beliau.

IMARET turut membuka saluran bantuan untuk barangan dan wang pada 27-28 Disember ini bermula pada jam 10 pagi hingga 9 malam di Golden Valley/Harley’s Market, 1, Jalan Wan Kadir, Taman Tun Dr Ismail, 60000 Kuala Lumpur.

Pusat pengumpulan Firefly dibuka setiap hari pada jam  9 pagi hingga  5 petang.

Minimum penerbangan Firefly ke Kota Bahru sebanyak 10 penerbangan sehari dan ke Kuala Terengganu sebanyak lima penerbangan sehari.

Penerbangan tambahan ke Kota Bahru dijadualkan pada Sabtu, 27 Disember dan juga pada Ahad 28 Disember. – RakyatPost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.