Berita Jambatan Sultan Yahya Petra Retak Tidak Betul

Kota Bharu -Kerajaan Kelantan hari ini menafikan dakwaan disebarkan dalam laman sosial kononnya berlaku keretakan pada struktur Jambatan Sultan Yahya Petra di sini yang menghubungkan Kota Baharu ke Pasir Pekan di Tumpat.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sebaliknya penutupan jambatan sepanjang dua kilometer itu kepada lalu lintas adalah demi keselamatan kerana dibimbangi peningkatan paras air Sungai Kelantan ketika ini boleh membahayakan pengguna.
“Saya nafikan berlaku keretakan seperti yang didakwa sebaliknya apa yang disiarkan dalam Facebook itu merupakan struktur penyambungan binaan yang sememangnya dibina sebegitu rupa. “Penyambungan jambatan itu direka khas oleh jurutera yang boleh digerakkan penyambungan ketika panas atau sejuk bagi pengukuhan struktur binaannya,” katanya kepada pemberita di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1 di sini, hari ini.
Jambatan berkenaan ditutup kepada lalu lintas pada 5.30 petang semalam berikutan kenaikan paras air Sungai Kelantan yang melepasi paras bahaya.
Mohd Amar berkata penutupan jambatan adalah perkara biasa ketika banjir dan tidak perlu dijadikan isu di dalam laman sosial.
Beliau turut meminta semua pihak tidak menyebarkan fitnah dalam laman sosial dan menimbulkan suasana panik dalam kalangan rakyat sehingga ada yang bersesak di stesen minyak bagi mengisi petrol kenderaan dan membuat pembelian panik.
“Saya suka menasihatkan mereka ini janganlah membuat cerita yang bukan-bukan terutama dalam keadaan banjir ketika ini,” katanya.
Beliau juga berkata sehingga kini, tidak ada keperluan untuk Kelantan diisytiharkan darurat kerana musibah yang berlaku itu masih boleh ditangani dengan baik.
“Banjir kali ini tidak seteruk pada 1967 dan ketika itu pun darurat tidak diisytihar pun,” katanya. Menurutnya banjir yang melanda Kelantan ketika ini disebabkan hujan lebat yang melanda selama dua hari, terutamanya di Gua Musang dan Kuala Krai yang menyamai jumlah taburan hujan bagi tempoh sebulan.
Katanya banjir luar biasa itu telah menyebabkan ada sesetengah tempat mengalami masalah, bagaimanapun ia dapat ditangani dengan baik oleh pasukan penyelamat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.