Bantuan Khas RM500 Juta Kepada Mangsa Banjir – Najib

Kota Baharu – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan bantuan khas RM500 juta kepada mangsa banjir di negeri yang dilanda bencana itu.

Beliau berkata dana itu akan diuruskan sepenuhnya oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan mula disalurkan selepas berakhirnya bencana itu.

“Bantuan ini akan diagihkan melalui MKN berdasarkan kriteria yang akan ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan melalui udara di jajahan terjejas teruk akibat banjir seperti Tumpat dan Tanah Merah.

Najib turut mengumumkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang dijadual akhir Januari depan, dipercepat kepada pertengahan bulan itu.

Selain itu, bagi meringankan lagi beban mereka yang terjejas, perdana menteri meminta institusi kewangan dan agensi yang menguruskan dana pinjaman menjadualkan semula tempoh pembayaran peminjam.

Mengulas lanjut, Najib berkata dana RM500 juta itu merangkumi bantuan bagi mangsa yang kediaman dan kenderaan mereka rosak akibat banjir.

Beliau bagaimanapun berkata ia tidak meliputi peruntukan yang akan ditentukan kemudian untuk membaiki kerosakan kepada institusi pendidikan, bangunan kerajaan, masjid, surau dan lain-lain.

“JKR (Jabatan Kerja Raya) akan menyelaraskan kerja baik pulih (infrastruktur awam) yang perlu dilakukan sebaik sahaja banjir ini selesai nanti,” katanya.

Beliau menegaskan segala usaha bantuan perlu dilakukan pada tahap semaksimum mungkin oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan berkaitan.

Najib berkata beliau dimaklumkan MKN bahawa bencana kali ini amat serius memandangkan ada lokasi tertentu yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir, kali ini terjejas teruk.

“Saya diberitahu keadaan amat kritikal yang mana sesetengah tempat air masih naik, dan ada juga tempat yang tak pernah banjir, kini mengalami keadaan banjir yang begitu serius.

“…dan ada juga tempat di mana mereka (penduduk) terpaksa lari ke atas bukit dan lereng bukit, dan (ada) juga tempat pemulihan banjir yang secara mendadak diwujudkan kerana keadaan banjir di luar dugaan yang berlaku kali ini,” kata Najib.

Sehubungan itu, perdana menteri berharap semua agensi terlibat memastikan tumpuan diberi sepenuhnya kepada usaha menyelamat dan memberi bantuan kepada mangsa banjir.

“Saya amat berharap kerjasama semua pihak untuk pastikan bahawa fasa pertama ini kita dapat beri tumpuan iaitu menyelamat dan beri bantuan seperti makanan, selimut, tikar, lilin dan sebagainya,” katanya.

Perdana menteri menarik perhatian bahawa keadaan lebih runcing kerana air naik begitu tinggi disertai arus begitu deras selain terputus bekalan elektrik.

“Ini bererti bekalan air bersih juga tak dapat disampaikan dan mangsa banjir di tempat pemindahan sementara terpaksa berada dalam gelap tanpa bekalan elektrik,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.