Tindakan Bawa Balik Abu Mayat Komunis Chin Peng Provokasi Bahaya – Prof Dr Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Tindakan pihak-pihak tertentu yang menguar-uarkan telah berjaya membawa balik abu mayat Setiausaha Agung Parti Komunis Malaysia (PKM) adalah satu perbuatan provokasi bahaya.

Provokasi dalam erti kata cuba menimbulkan kemarahan rakyat dan penghinaan terhadap keluarga kepada mangsa-mangsa Chin Peng yang sudah tentu terkesan dengan tindakan lampaunya.

Perlu diingat keganasan Chin Peng bukan sahaja berlaku kepada penduduk teramai di negara ini tetapi juga orang-orang Cina.

Disebabkan itu, tindakan pihak tertentu itu wajar dilihat sebagai mencabar pihak berkuasa yang selama ini bertegas tidak membenarkan Chin Peng, mahu pun abu mayatnya dibawa balik ke Malaysia.

Malah, pendedahan itu juga dianggap sebagai satu ‘serangan’ pihak tertentu ketika hubungan sesama etnik di negara ini semakin ampuh.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, Chin Peng dibuang negara kerana dia adalah musuh negara yang telah melakukan keganasan dan kesengsaraan kepada rakyat negara ini selama empat dekad sehingga tahun 1989.

Lantaran itu, keputusan kerajaan sebelum ini dan pihak berkuasa tidak membenarkannya balik ke Malaysia adalah wajar kerana dia seorang pengkhianat negara.

“Chin Peng musuh negara dan dalam hal ini Chin Peng perlu membayar kos (tidak dibenarkan balik) sehingga akhir hayatnya kerana pengkhinatan yang dilakukannya.

“Kalau di negara lain, dia mungkin sudah dihukum bunuh tetapi dia cuma tidak dibenarkan masuk Malaysia.

“Dengan keganasan yang dilakukan Chin Peng memang tidak patut dibawa balik. Dia pengkhianat negara.

“Jadi apabila ada pihak membawa balik abu mayatnya, bermakna pihak tersebut hendak cabar arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Teo berkata, beliau bertanya-tanya apa sebenarnya tujuan pihak yang membawa balik abu mayat itu melakukan pendedahan, jika tanpa niat tertentu.

“Kalau bawa balik senyap-senyap siapa pun tak tahu. Tetapi mengapa mereka menguar-uarkannya? Apa tujuan atau niat mereka?,” soal beliau lagi.

Oleh itu, beliau berkata, kerajaan dan pihak berkuasa perlu memandang perkara ini dengan serius dan bertindak sewajarnya kerana ia membabitkan perlanggaran arahan negara.

Beliau khuatir jika ia tidak ditangani dengan serius, kerajaan akan memberi isyarat yang silap kepada rakyat yang menjadi pemerhati dalam isu-isu sensitif sebegini.

“Saya amat pasti jika kerajaan bertindak dengan betul berhubung isu ini rakyat pasti memberi sokongan,” ujar beliau. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!